Jenayah

Peneroka maut dilanggar lori roti

SEGAMAT: Seorang peneroka maut apabila motosikal ditungganginya dilanggar sebuah lori penghantar roti di Jalan Felda Redong-Labis, di sini, dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, Othman Mohammad, 69, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan, selain motosikalnya terpotong dua.

“Siasatan awal mendapati lori satu tan yang dipandu dari arah Labis-Felda Redong dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar motosikal ditunggangi mangsa dari arah bertentangan berhampiran kawasan perkampungan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke bahu jalan sebelah kiri dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lori tersebut terbabas serta terbalik ke kawasan kebun kelapa sawit,” katanya.

Menurutnya, pemandu lori yang cedera dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Segamat (HDS) menggunakan ambulans Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).

“Mayat mangsa dibawa ke Rumah Mayat HDS untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Redong, di sini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saya menasihatkan pengguna jalan raya terutamanya kenderaan berat supaya berhati-hati terutamanya ketika melalui kawasan perkampungan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");