Membawang Hari Ini

Persatuan Bintang Dangdut Malaysia

MESKI dianggap sebagai muzik ‘second class’, namun tidak wajar sekiranya irama dangdut dilupakan begitu sahaja.

Tambahan pula, kehadiran genre muzik itu benar-benar meninggalkan kesan buat peminat dan masyarakat, satu ketika dahulu.

Menyedari situasi itu, buat julung kalinya, Persatuan Bintang Dangdut Malaysia (Bintang) ditubuhkan sebagai satu usaha memartabatkan kembali irama dangdut di Malaysia.

Presidennya, Ifa Raziah berkata, matlamat utama penubuhan Bintang adalah untuk mewarnai semula industri dangdut yang dilihat semakin sepi, sejak 20 tahun lalu.

“Secara rasminya, persatuan ini berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), pada April lalu.

“Ini adalah persatuan dangdut yang pertama kali ditubuhkan dalam sejarah industri muzik negara.

“Bahkan, buat pertama kalinya juga ia menghimpunkan hampir semua artis dangdut di bawah satu bumbung.

“Atas kesempatan ini juga, kita mahu membangkitkan semula irama dangdut selain menjaga kebajikan artis-artis yang berterusan memperjuangkannya sehingga ke hari ini,” katanya pada Zass ketika ditemui selepas pelancaran persatuan itu, baru-baru ini.

Ifa Raziah berkata, peluang seperti itu juga menjadi langkah terbaik dalam memperbetulkan persepsi dan pandangan masyarakat mengenai perbezaan di antara dangdut Malaysia, Indonesia, dangdut profesional dan sebaliknya.

“Kita sedar, penyanyi dangdut di negara ini merupakan golongan minoriti yang selalu menerima tanggapan negatif daripada masyarakat.

“Oleh itu, kita mahu mengubah persepsi tersebut sekali gus menaik taraf imej artis dangdut itu sendiri,” katanya.

Malah, pelantun lagu Ser Ser Ser itu turut berharap dapat mengawal isu-isu hak cipta, gambar dan hasil seni ahli-ahli yang digunakan tanpa kebenaran.

“Kita mahu persatuan ini menjadi satu platform kepada semua artis dangdut untuk bersatu dan meneruskan perjuangan di dalam industri muzik dangdut tanah air,” katanya.

Selain Ifa Raziah atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha yang memegang tampuk kepimpinan, Bintang turut melantik penyanyi, Sheeda sebagai Timbalan Presiden, Amelina (Naib Presiden 1), Mas Idayu (Naib Presiden 2), Intan Maya (Bendahari) dan Ani Mayuni sebagai Setiausaha Agung.

Tidak hanya itu, persatuan tersebut juga mempunyai lebih 22 ahli dan menjangkakan bilangannya akan terus meningkat pada masa depan.


Singkir virus dalam ahli

Mengharapkan agar ‘perjalanan’ Bintang mampu pergi lebih jauh, Ifa Raziah bertegas tidak mahu ada golongan ‘perosak’ ataupun ‘virus’ dalam persatuan tersebut.

Katanya, golongan sebegitu tidak wajar ‘disimpan’ kerana hanya akan memecahbelahkan perpaduan sesama ahli.

“Sebenarnya, artis dangdut adalah selebriti yang paling ‘berbisa’. Semuanya ada ego masing-masing dan susah hendak disatukan.

“Jadi, apabila persatuan ini diwujudkan menyebabkan ada hubungan di antara ahli dangdut semakin rapat dan mula saling berhubung bertanya khabar,” katanya.

Sehubungan itu, pelakon drama bersiri Seindah Takdir Cinta ini tidak teragak-agak menyingkirkan ahli yang cuba menghasut serta memburukkan nama persatuan.

“Saya memandang serius perkara ini kerana golongan sebegini memang tidak diperlukan dalam mana-mana persatuan.

“Tetapi, saya ini bukanlah seorang yang kejam kerana sekiranya timbul masalah dalam kalangan ahli, saya bertanggungjawab untuk memberi pandangan dan nasihat.

“Saya mahu setiap masalah diselesaikan dengan cara baik,” katanya.

Bagaimanapun, artis berusia 41 tahun itu mengakui terdapat pergolakan sewaktu pemilihannya sebagai presiden persatuan.

Kata Ifa Raziah, kemelut itu berlaku disebabkan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan persetujuan dicapai ahli yang ingin melantiknya menerajui persatuan berkenaan.

“Ya, memang benar ada timbul sedikit isu ketika awal penubuhan persatuan ini. Isu itu timbul daripada individu yang tidak senang melihat saya dipilih sebagai presiden.

“Tetapi, saya bukan melantik diri sendiri untuk duduk di kerusi ini sebaliknya ia adalah keputusan sebulat suara daripada semua ahli persatuan.

“Kalau boleh, saya juga tidak mahu jawatan ini tetapi saya bertekad kerana kepercayaan ahli terhadap saya untuk menerajui persatuan,” katanya.

Jelas Ifa Raziah lagi, situasi itu bertambah keruh apabila individu tersebut bertindak menghasut ahli lain untuk menentangnya namun bersyukur kesemua ahli masih berdiri teguh di bawah kepimpinannya.

Keyakinannya juga bertambah yakin apabila penyanyi, Mas Idayu dan Amelina memberikan mandat dan kepercayaan penuh kepadanya.

Pada masa sama, dua penyanyi berkenaan juga yakin akan keupayaan dan semangat Ifa Raziah dalam membawa hala tuju Bintang.

“Semangat saya hampir luntur. Saya hanya mahu melihat nasib penyanyi dangdut di negara ini terbela sekali gus kembali menyemarakkan irama itu dalam kalangan peminat.

“Jujurnya, sebagai presiden persatuan, saya tidak mendapat apa-apa imbuhan.

“Namun, kepercayaan dan harapan daripada semua ahli membuatkan saya tidak peduli dengan tindakan yang ingin menentang saya,” katanya.


Rancang pelbagai aktiviti

Enggan lagi menoleh ke belakang, Ifa Raziah sudah pun mempunyai beberapa perancangan terhadap perkembangan pembangunan Bintang.

Katanya, beberapa program dan aktiviti bakal dilaksanakan sebagai usaha memurnikan industri muzik tanah air.

“Saya merancang hendak membuat konsert dangdut tanpa henti secara besar-besaran, pada Disember nanti.

“Mungkin konsert itu akan dimulai dengan satu siri jelajah di seluruh negara. Insya-ALLAH, satu sejarah bakal tercipta.

“Hasil kutipan tiket itu nanti akan dimasukkan ke dalam tabung Bintang agar beberapa sumbangan boleh dilakukan kepada artis dangdut yang memerlukan,” katanya.

Pada masa sama, Bintang turut berhasrat menghasilkan album kompilasi yang melibatkan semua ahli persatuan.

“Dalam album itu nanti, akan ada empat lagu dan kesemuanya adalah lagu baharu.

“Hasil jualan album itu juga akan dimasukkan ke dalam tabung Bintang,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");