Panasnya Hari Ini

PKR Sedia Jadi Orang Tengah Untuk PAS & Amanah

KUALA LUMPUR: PKR menyatakan kesediaan untuk menjadi orang tengah kepada Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) jika kedua-dua parti itu mahu meletakkan calon masing-masing pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Menurut Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, bagaimanapun ia tertakluk kepada kesediaan kedua-dua parti untuk berunding, memandangkan sebelum ini Pas telah bertegas enggan berunding dengan parti lain melainkan PKR.

“Saya fikir sekarang ini, saya amat menghormati kematangan masing-masing. Isunya, kebolehan PKR menjadi orang tengah sekadar kesediaan pihak lain memilih kami sebagai orang tengah.

“Ia satu hubungan simbiotik. Maksudnya memerlukan kerjasama semua pihak. Sekiranya tiada pihak yang mahu berunding, maka tidaklah terjadi apa-apa bentuk rundingan,” katanya memetik sumber Sinar harian.

Beliau turut mengakui dan menyatakan keyakinan bahawa kedua-dua parti itu mencapai kata putus yang menguntungkan rakyat kerana dua PRK tersebut mempunyai matlamat sama iaitu menundukkan BN.

“Mereka (Pas dan Amanah) yang menentukan hala tuju masing-masing. Mereka sudah dewasa. Mereka akan putuskan yang terbaik.

“Secara asasnya, saya mahu melihat kesemua parti pembangkang menunjukkan keazaman menumpaskan BN,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, perkara utama kini adalah kerjasama semua parti bagi mengelak terjadinya pertembungan tiga penjuru antara Pas, Amanah dan BN.

Ujarnya lagi, situasi ini hanya akan menguntungkan BN sama seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak, baru-baru ini.

“Di saat ini, sebaiknya kita berbincang di sebalik tabir dengan harapan prinsip satu lawan satu itu terlaksana. Pendirian itu juga dinyatakan dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa parti pembangkang lain tidak meletakkan calon dalam dua PRK yang akan berlangsung 18 Jun ini.

Bagaimanapun, Presiden Amanah Mohamad Sabu pula menegaskan bahawa partinya bersedia meletakkan calon pada dua kerusi itu walaupun diberi amaran oleh Pas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");