Panasnya Hari Ini

PRK : Pakatan Harapan Bermesyuarat Esok

KUALA LUMPUR : Pakatan Harapan akan bermesyuarat esok berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berkata, Pakatan Harapan akan tetap bertanding di kedua-dua kerusi tersebut dan akan memastikan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri antara parti dalam Pakatan Harapan seperti yang berlaku di Sarawak baru-baru ini.

Bagaimanapun, Mohamad Sabu berkata, parti mana yang akan mewakili Pakatan Harapan untuk bertanding di Kuala Kangsar dan Sungai Besar belum diputuskan.

“Pakatan Harapan akan bermesyuarat esok di Pejabat AMANAH di Kuala Lumpur bagi menentukan parti mana yang akan bertanding, kita tetap bertanding.

“Yang pasti kita meletakkan calon dalam dua PRK itu walaupun mendapat tentangan daripada PAS,” katanya, lapor Sinar Harian.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lalu.

Mohamad Sabu turut berkata, Pakatan Harapan mempunyai hak untuk bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengingatkan DAP, PKR dan AMANAH supaya tidak meletakkan calon jika sekadar untuk menguji sokongan.

Katanya, beliau menghormati keputusan PAS untuk bertanding tetapi parti Islam itu tidak boleh menghalang parti-parti dari Pakatan Harapan menyertainya.

“PAS tiada dalam Pakatan Harapan, soal PAS nak turut bertanding iu soal dia, kita pun ada hak nak bertanding atau tidak dan kita memutuskan untuk bertanding kali ini.

“Sambutan kepada Pakatan Harapan di semenanjung lebih baik berbanding Sarawak kerana isu-isu yang dibangkitkan di sini (semenanjung) jauh berbeza dengan Sarawak, harapan untuk kita menang adalah cerah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");