Panasnya Hari Ini

PRK Sungai Besar & Kuala Kangsar 18 Jun Ini

KUALA LUMPUR : Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Kangsar (P.067) dan Parlimen Sungai Besar (P.093) akan diadakan serentak pada 18 Jun 2016.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah selepas mempengerusikan satu mesyuarat khas yang diadakan hari ini.

Mohd Hashim mengumumkan, bagi tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 Jun 2016 manakala tarikh pengundian awal pula pada 14 Jun hadapan.

Kedua-dua kerusi Parlimen itu kosong berikutan penyandangnya, Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Parlimen Kuala Kangsar) dan Datuk Noriah Kasnon (Parlimen Sungai Besar) terlibat dalam nahas helikopter di Sarawak, minggu lalu.

Kedua-duanya antara yang terkorban dalam nahas tersebut selain daripada empat yang lain iaitu suami Noriah, Asmuni Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang, Kapten Rudolf Rex Ragas.

Mohamad Hashim berkata, sehingga 6 Mei, Daftar Pemilih Induk (DPI) bagi Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,655 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 42,365 pengundi biasa, 286 pengundi awal dan empat pemilih tidak hadir luar negara.

Bagi DPI Parlimen Kuala Kangsar pula, sehingga 7 Mei, seramai 32,949 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 32,632 pengundi biasa, 312 pengundi awal dan lima pemilih tidak hadir luar negara.

Ujarnya lagi, kos bagi kedua-dua PRK itu dianggarkan menelan belanja sebanyak RM2.7 juta.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar apabila menewaskan calon PAS, Mohd Salleh M Husin dengan majoriti 399 undi manakala Wan Mohammad Khair-il Anuar pula menang dengan majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan calon bebas, Datuk Kamilia Ibrahim.

Mengulas lanjut, Mohd Hashim berkata, pusat penamaan calon dan penjumlahan undi bagi PRK Kuala Kangsar akan diadakan di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar dan Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria dilantik sebagai pengurus pilihan raya.

Bagi PRK Parlimen Sungai Besar pula, Pegawai Daerah Sabak Bernam, Mohd Khairuddin Md Som dilantik sebagai pengurus pilihan raya dan Dewan Seri Bernam, Sungai Besar akan menjadi lokasi penamaan calon serta penjumlahan undi rasmi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");