Membawang Hari Ini

Projek termahal Alyah

Selepas muncul dengan ­single Syurga, penyanyi Datin Alyah bakal tampil dengan lagu terbaru berjudul Engkau Milikku.

Meski belum diperde­ngarkan kepada umum, Alyah sudah selesai menjalani penggambaran video muzik lagu ini di Ladakh, India, awal bulan lalu.

Jika lagu Kisah Hati menampilkan pelakon Remy Ishak, manakala Hisyam Hamid menerusi lagu Sesal Separuh Nyawa sebagai model video muzik, kali ini Alyah bekerjasama dengan pelakon, Josiah Hogan.

Alyah, 34, berkata, pemilihan pelakon drama Cinta Jangan Pergi itu tepat dan bersesuaian dengan jalan cerita yang dipaparkan dalam muzik video Engkau Milikku.

“Melihatkan personaliti dan rupa paras Josiah, saya rasa dia pelakon yang paling sesuai. Pemilihannya berdasarkan perbincangan semua anggota pasukan selepas menyiapkan jalan cerita video muzik ini.

“Alhamdulillah, bekerjasama dengannya sangat mudah meskipun kami kali pertama berjumpa. Sepanjang penggambaran dia seorang yang ramah dan mesra. Pendek kata, dia sangat memberi komitmen,” katanya.

Menurut Alyah, menjalani penggambaran selama 10 hari di kawasan pergunungan di Nubra Valley memberikannya pengalaman baru selain berdepan pelbagai cabaran sama ada sebelum atau ketika penggambaran.

“Memandangkan kawasan itu sempadan Pakistan, jadi ia dikawal ketat pasukan tentera. Sebelum sampai ke situ, setiap hari kami perlu melalui perjalanan selama enam jam dengan meredah kawasan pergunungan bersalji.

“Cuaca pada waktu itu mencecah -23 darjah Celsius. Bayangkan betapa sejuknya ketika itu ditambah pula saya yang perlu mengenakan gaun. Bukan saja saya yang kekurangan oksigen, malah semua pasukan,” katanya.

Mengikut perancangan asal, lokasi penggambaran adalah di New Zealand.

Namun, disebabkan beberapa masalah termasuk mendapatkan sokongan pihak tertentu selain menelan kos yang tinggi, projek ini tertunda selama hampir dua bulan.

“Saya bergerak sendiri jadi segalanya atas tanggungjawab sendiri. Apabila perkara yang dirancang berdepan masalah, saya pun tak tahu nak buat apa.

“Apabila pengarah video muzik ini mencadangkan lokasi di Ladakh dan saya melihatnya sendiri di Internet, ia terus menarik perhatian saya.

“Kami mengadakan perbincangan semula dan mendapatkan sokongan daripada pihak tertentu,” katanya.

Berkongsi mengenai projek ini, video muzik arahan Izwan Mokhtar ini memerlukan Alyah tampil dalam tujuh persalinan berbeza.

Ia sekali gus menjadikan muzik video ini sebagai projek termahal Alyah apabila menelan kos lebih RM100,000.

“Walaupun projek ini mendapat tajaan daripada empat penaja, dalam masa sama saya perlu me­ngeluarkan perbelanjaan sendiri. Apatah lagi, berada di sana bukannya mudah, jadi banyak prosedur perlu dilalui.

“Berbanding muzik video sebelumnya, ini kali pertama saya ke luar negara. Untuk itu saja sudah berapa banyak kos dikeluarkan. Apa-apa pun, segala yang dirancang berjalan lancar meski pada mulanya berdepan pelbagai halangan,” katanya.

Sambung Alyah, dia berpuas hati dan rasa berbaloi dengan apa dilakukan.

“Walaupun mengikut pasaran muzik tempatan kita, perkara sebegini masih belum dapat menjana pendapatan, saya tidak pernah berputus asa memberikan yang terbaik.

“Saya sentiasa percaya pada rezeki. Mungkin menerusi video muzik ini banyak pihak akan lebih membuka mata dan pada masa sama tawaran menyanyi juga semakin banyak,” katanya.

Lagu Engkau Milikku ciptaan sepenuhnya Alyah dan akan mula diperdengarkan di stesen radio Hot FM bermula 10 Mei ini.

Sementara itu, video muzik ini pula akan dilancarkan secara rasmi pada acara sidang media yang akan diadakan pada 26 Mei.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");