Membawang Hari Ini

Raihan semarak budaya membaca al-Quran

DALAM perkembangan teknologi masa kini, budaya membaca al- Quran dilihat bukan lagi menjadi satu keutamaan.

Malah, pelbagai alasan menjadi faktor utama umat Islam kini yang semakin jauh daripada kitab suci itu walaupun mengetahui ia memberi banyak manfaat buat mereka yang mengamalkannya.

Prihatin dengan situasi tersebut, Raihan memainkan peranan dalam menjalinkan kerjasama dengan Kumpulan Media Karangkraf mewujudkan cawangan terbaharu Rumah Ngaji di restoran milik mereka.

Istimewanya, restoran yang diberi nama Teratak Raihan itu terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur dan beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

Menyifatkan usaha itu sebagai salah satu inisiatif dalam menyemarakkan budaya membaca al-Quran, kumpulan nasyid popular era 90 an itu mengharapkan agar masyarakat mengambil kesempatan tersebut untuk lebih mendekati kitab suci tersebut.

“Selebriti adalah salah satu medium yang kuat dalam mempengaruhi masyarakat.

“Jadi, kami mahu menggunakan kesempatan ini untuk menggalakkan lagi masyarakat supaya lebih dekat dengan al-Quran yang mana kita tahu ia bakal memberi banyak manfaat buat yang mengamalkannya.

“Mungkin kami tidak mampu untuk mengajak semua umat Islam untuk sertai Rumah Ngaji ini, tapi sekurang-kurangnya usaha kecil ini sedikit sebanyak dapat memberi kesan yang baik kepada masyarakat,” kata salah seorang wakil Raihan, Che Amran Idris ketika majlis pra pelancaran Rumah Ngaji di Restoran Teratak Raihan, baru-baru ini.

Bagi menyemarakkan lagi budaya membaca al- Quran dalam kalangan masyarakat, Che Amran juga mengharapkan supaya golongan selebriti untuk turut serta.

“Tidak hanya terbuka kepada orang ramai, kami juga amat mengalu-alukan golongan artis untuk sama-sama mengaji, memahami dan mengamalkan al-Quran di teratak kami ini.

“Ini adalah restoran yang pertama menempatkan Rumah Ngaji iaitu konsep baharu dan mudah-mudahan ia akan menjadi ikutan kepada pihak lain juga.

“Sudah tentu pengunjung yang datang bukan hanya boleh mendapatkan makanan jasmani tetapi makanan rohani,” jelasnya.

Masih aktif

Beralih pada perkembangan perjalanan seni mereka, Raihan bagaimanapun buat masa ini tidak berhasrat untuk menghasilkan lagu mahupun album baharu.

“Setakat ini kami belum lagi ingin tampil dengan produk baru tapi jika dilihat pada trend sekarang, peminat lebih gemarkan lagu-lagu lama kami.

“Kami ambil kesempatan itu untuk terus menyanyikan lagu-lagu lama daripada album terdahulu dalam setiap persembahan.

“Istimewanya lagu-lagu lama ini mungkin dapat mengembalikan semula nostalgia pendengar dan kami anggap ia sebagai aset besar Raihan yang boleh dikongsikan bersama peminat kami,” jelasnya.

Selain aktif dalam membuat persembahan, Che Amran turut memberitahu Raihan juga sering terlibat dengan program wacana ilmu di serata dunia.

“Alhamdulillah, Raihan masih lagi menerima undangan nyanyian dan mengikuti program-program islamik tidak kira di dalam mahupun di luar negara.

“Kami baru saja pulang dari Acheh mengikuti program pelancongan islamik bersama dua pendakwah iaitu Ustaz Abdullah Khairi dan Ustaz Haslin Bollywood.

“Dalam perbincangan, Insya-ALLAH kami juga akan ke London untuk siri jelajah United Kingdom (UK),” tambahnya sebelum mengakhiri perbualan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");