Jenayah

Remaja lelaki disyaki curi rim kereta maut dipukul

BUKIT MERTAJAM: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut dipukul beberapa lelaki selepas ditangkap kerana mencuri rim kereta dari sebuah bengkel di belakang Flat Terubok di Kampung Surau di sini awal pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Superintendan Mohd Sabri Mohamed berkata, remaja itu ditangkap pemilik bengkel berkenaan ketika cuba melarikan dua rim kereta dari bengkel tersebut kira-kira pukul 5.30 pagi.

“Remaja yang berasal dari Sungai Rambai di sini itu, cuba melarikan rim dengan sebuah motosikal tetapi kejadian itu disedari pemilik bengkel berkenaan dan menangkap remaja tersebut dengan bantuan beberapa penduduk di situ.

“Berlaku pergelutan antara pemilik bengkel dan remaja itu. Ia turut disertai beberapa lagi lelaki sebelum remaja itu tidak sedarkan diri dan mati di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Mohd Sabri berkata, susulan kejadian itu, polis menahan pemilik bengkel berkenaan yang juga kontraktor van kilang berusia 42 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pemilik bengkel berkenaan mendakwa kehilangan rim kereta di bengkelnya telah beberapa kali berlaku sejak bulan lepas, menyebabkan dia mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidur di kedainya.

Mayat remaja itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat, katanya.

Mohd Sabri berkata, siasatan juga mendapati motosikal yang digunakan remaja itu dilaporkan dicuri di Butterworth pada 3 Mei lepas.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan beberapa lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan saya minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");