Berita Hari Ini

‘Ribut dalam cawan’ landa Pas Kedah

ALOR SETAR – Pas Kedah sekali lagi berdepan situasi sukar apabila Pas kawasan Kuala Kedah dan Pokok Sena membuat ketetapan mengejutkan, apabila kedua-dua Yang Dipertua kawasan berkenaan ‘berehat’ daripada memikul tanggung jawab itu.

Yang Dipertua Pas kawasan Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini mengisytiharkan diri bercuti selama sembilan bulan bermula Februari lalu, manakala Yang Dipertua Pas kawasan Kuala Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah meletakkan jawatannya, berkuatkuasa Isnin lalu.

Kedua-dua pemimpin ini antara tonggak utama Pas Kedah, di mana keduanya pernah menjawat jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, namun hanya Amiruddin menolak jawatan Pesuruhjaya ketika ditawarkan kepadanya bagi sesi 2015-2017.

Kemelut yang diibaratkan umpama ‘ribut dalam cawan’, tidak ubah seperti situasi yang berlaku dalam Pas Kedah ketika Pesuruhjaya ketika itu, Tan Sri Azizan Abdul Razak berdepan krisis Exco 2012, cuma bezanya kali ini hanya melibatkan pas kawasan. Itu pun hanya dua daripada 15 kawasan dilihat ‘bermasalah’.

Bagaimana pun, tindakan Amiruddin yang juga Adun Anak Bukit melepaskan jawatan Yang Dipertua Pas kawasan Kuala Kedah tidaklah seserius situasi pada 2012, namun ia tetap membangkitkan peristiwa lampau gara-gara melibatkan kawasan ‘panas’ Kuala Kedah.

Gandingan tiga serangkai ketika itu, Datuk Phahrolrazi Zawawi-Amiruddin- Mohd Nasir Mustafa selain Datuk Ismail Salleh menyebabkan Pas Kedah ketika itu bergolak dan tidak mampu dibendung. Sebaliknya kemelut kali ini berlaku secara senyap tanpa menjejaskan parti.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurrazi ketika mengulas perkembangan terbaharu ini menegaskan, Amiruddin masih ahli Pas dan telah mengumumkan pendiriannya untuk kekal beristiqamah selain terus memberi khidmat kepada parti.

“Amiruddin juga masih kekal sebagai Ketua Pembangkang Dun Kedah, Pengerusi Pembangunan Kompleks Pas Kedah dan beberapa entiti lain yang diberi tanggungjawab kepadanya oleh Badan Perhubungan Pas Kedah,” katanya.

Menurutnya, pentadbiran Pas kawasan Kuala Kedah berjalan seperti biasa di mana tugas parti kini dilaksanakan oleh pemangku jawatan, sebagaimana diperuntukkan perlembagaan parti.

“Saya harap semua ahli Pas Kedah fokus terhadap kerja-kerja mendekati rakyat serta memperjuangkan hak-hak mereka dengan penuh dedikasi,” katanya.

Naib Yang Dipertua, Umar Saad kini merupakan pemangku Yang Dipertua berikutan Timbalannya, Mohd Nasir Mustafa telah melepaskan jawatannya 1 Mei lalu, sebelum Amiruddin berbuat demikian, Isnin lalu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");