Membawang Hari Ini

Sakit dibuat bagai dah tiada

Tempoh 35 tahun bersama nyata belum cukup lama untuk saling mengenali hati budi masing-masing. Ketika dirinya kini tidak lagi kuat, ketika dirinya diuji dengan dugaan Allah, rakan yang lain merancang projek besar tanpa membabitkannya.

Namanya dikeluarkan daripada senarai, membolehkan mereka membahagikan habuan diterima hanya untuk mereka. Itulah yang diluahkan pemain dram Search, Yazit Ahmad, 54, dalam sidang media, Khamis lalu.

Ketika dirinya sakit, rakan-rakan yang lain cuba meminggirkan dirinya apabila empat rakannya, Amy, Nasir, Nordin dan Kid merancang projek meraikan 35 tahun mereka bersama dalam Konsert 35 Tahun Search yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIE) pada 30 Ogos ini, tanpa dirinya.

Ia mula disedari apabila tidak menerima bahagiannya untuk bayaran pertama RM75,000 daripada penganjur, Afjet Sdn Bhd pada Disember 2015 yang dikatakan dibayar kepada empat nama sebagaimana dalam senarai Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU).

Lebih membuatkan hatinya pedih apabila mengetahui rakannya sendiri mahu membuang namanya. Hakikatnya, dia masih hidup tetapi diperlakukan begitu. Yazit terkilan dan menyifatkan ada rakan yang baling batu sembunyi tangan.

“Apa salah saya hingga mereka buat saya begini? Saya sakit. Saya memang tersinggung dengan mereka buat seolah-olah saya sudah mati,” kata Yazit.

Gagal mendapat haknya daripada rakan, Yazit berjumpa penganjur. Apabila dimaklumkan dia tidak mendapat bahagiannya, penganjur rasa terkilan lalu bayaran kedua pada Mac lalu dikeluarkan atas nama lima individu RM10,000 setiap seorang.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Operasi Afjet, Amrul Mizar Anuar ketika dihubungi wartawan BH, sejurus selepas selesai sidang media berakhir. Amrul juga mengakui pihaknya menyediakan MoU dengan lima nama termasuk Yazit pada awalnya tetapi apabila menerima MoU baru daripada Search, hanya empat nama (tanpa Yazit) dan mengatakan bahagian Yazit, mereka akan uruskan.

Penganjur kesal dengan kemelut yang melanda dan bimbang memberi kesan kepada konsert yang dijadualkan pada 30 Ogos ini. Katanya, banyak wang dilabur untuk projek sulung mereka itu dan berharap isu ini diselesaikan segera.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");