Jenayah

Sangka mangsa terjun gelandangan tidur

Melaka: Seorang pemuda berusia 27 tahun maut terjatuh dari bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC), di Jalan Hang Tuah, di sini, petang kelmarin.

Mayat mangsa ditemui lelaki pada jam 4.50 petang ketika melintasi lokasi kejadian sebelum menghubungi talian kecemasan meminta bantuan ambulans selepas mengesan kecederaan parah di kepala pemuda itu.

Mangsa berasal dari Bahau, Negeri Sembilan, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik 1Malaysia yang dipanggil untuk melakukan pemeriksaan.

Saksi kejadian yang hanya dikenali Ng, 60, berkata, sebelum itu, dia baru selesai berurusan di jabatan kerajaan di bangunan itu sebelum berjalan menuju ke parkir kereta.

“Ketika sampai di hujung bangunan, saya lihat ada orang terbaring di bawah tangga kecemasan dan saya sangka dia gelandangan yang tidur. Saya memanggil pekerja kafeteria berhampiran membantu melakukan pemeriksaan.

“Kami menghampiri mangsa dan selepas melakukan pemeriksaan, saya dapati darah mengalir di telinga kanan pemuda itu yang dipercayai baru saja terjatuh dari bangunan ini,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, mendiang anaknya bekerja di hotel berhampiran bangunan UTC dan pernah mengadu mengalami tekanan perasaan akibat masalah di tempat kerja.

Lelaki itu berkata, mendiang tidak menunjukkan kelakuan aneh atau mengalami kemurungan dan kali terakhir bertemu dengan mangsa ketika singgah ke tempat kerja anaknya, Khamis lalu.

“Mendiang kerap mengadu banyak masalah di tempat kerja dan saya cuba membantu dengan memintanya menyelesaikan perkara itu dengan cara baik, namun hari ini (kelmarin) saya dikejutkan dengan berita kematiannya.

“Mendiang suka memendam perasaan dan dia tidak meluahkan masalahnya kepada orang tidak dikenali kecuali saya atau ahli keluarga lain,” katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian meragut nyawa pemuda itu.

“Laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala dan siasatan dijalankan mengenal pasti bagaimana kejadian berlaku.

“Hasil siasatan, kematian mangsa tiada kaitan dengan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan kematian mengejut (SDR),” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");