Membawang Hari Ini

Search jawab tuduhan Yazit

Siapa mampu berdiam diri sekiranya nama mereka diburukkan dan dijaja di sana sini. Lebih mengecewakan, individu yang ‘mencanang cerita’ adalah anggota kumpulan sendiri yang dikenali sejak puluhan tahun lalu.

Dek kerana itu, empat anggota kumpulan rock legenda Search iaitu Amy, Nasir, Din dan Kid tampil mengadakan sidang media bagi menjawab tuduhan pemain dram mereka, Yazit yang mendakwa berlaku pecah amanah dalam kumpulan itu dengan membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju, 4 Mei lalu.

Menjelaskan apa yang berlaku, Nasir berkata, Yazit sebenarnya tidak mahir berurusan dan hanya tahu membuat tuduhan tidak berasas terhadap rakan lain.

“Agak mengecewakan kerana kami sudah menganggapnya seperti keluarga sendiri, tetapi dia nak sumbat kami dalam penjara kerana benda yang tak jelas. Sebenarnya saya mempunyai pengalaman yang lama dengan Yazit sejak Search ditubuhkan pada 1981. Daripada pemerhatian saya, dia selalu bersikap ‘bossy’ dalam banyak perkara. Pengetahuannya kurang, tapi Yazit pandai main drum.

“Bagi saya itu bukan masalah kerana sebagai manusia masing-masing ada kekurangan. Saya ada kekurangan dan dia juga ada kekurangan. Sepanjang bersama Search, formula yang ditetapkan ialah kami berlima. Maksudnya walaupun Yazit tak terbabit dengan mana-mana konsert, dia tetap akan menerima bahagiannya. Cuma seperti yang dikatakan tadi, Yazit masih bersikap ‘bossy’.

“Konsert Search Live In Istana Budaya pada 2014 misalnya, kami bekerja keras untuk menjayakannya, tetapi dia tiba-tiba tuntut kontrak sedangkan ia dah dua tahun berlalu. Selepas tolak kos pemain dram yang menggantikan tempatnya, Yazit masih menerima bayaran RM49,000 termasuk hasil jualan cenderahati Search berjumlah RM7,000 biarpun hanya beraksi untuk empat lagu,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri peguam mereka, Yusmadi Yusof.

Menurut pemain bass ini lagi, Search tidak pernah mengeluarkan kenyataan mahu menamatkan khidmat Yazit dan apa yang berlaku sekarang mungkin kerana Yazit merasakan kedudukannya tergugat.

“Hairan! Kenapa dia rasa kedudukannya tak selamat dan kemudian nak kumpulkan penyokong untuk kata dia pengasas Search. Bagi saya benda ini mudah. Yazit yang tidak berfikir secara baik. Dulu dia kuat memerintah, sekarang perangainya menjadi-jadi. Kami sudah berumur lebih 50 tahun dan sekarang bukan masa untuk bercakap yang bukan-bukan.

“Tindakan terburu-burunya ini memang me­nyedihkan. Sebelum perkara ini berlaku, saya ada mesej dia dengan mendoakan yang terbaik buatnya dan apa pun tindakannya biarlah dibuat secara waras. Tak sangka pula dia buat laporan polis. Kalau dia kata sudah lama simpan rahsia kami, kami juga sudah terlalu lama memendam rasa dengan sikapnya.

“Cubalah cari di mana-mana laman sosial, tak pernah kami memperlekehkan dia. Bahkan saya sentiasa tulis yang baik-baik mengenainya dan anggap dia sahabat yang dikenali sejak 1980,” katanya sebak.

Mengenai bayaran yang diterima dalam mana-mana konsert, Nasir berkata, Search mengamalkan aliran keluar masuk penggunaan wang yang betul.

“Yazit nak kawal dan kuasai Search. Dia pernah bertindak menghubungi penganjur konsert Search untuk berta­nya macam-macam perkara. Ada juga dia memaki-hamun penganjur dan tindakannya itu sudah merosakkan nama Search. Saya pernah hantar duit kepada Yazit ketika dia dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Kita hampir nak sambut raya ketika itu.

“Yazit turun ke lobi dengan berkerusi roda dan saya sedih tengok dia. Kami berpelukan dan sama-sama menangis. Dia akhirnya keluarkan kenyataan tak dapat sebarang bantuan daripada Search. Kami tak merayu Yazit, tetapi kalau dia waras harap tarik balik laporan polis yang dibuat dan minta maaf kepada Search dan Amy sekeluarga.

“Saya juga nak ingatkan kami tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap penyokong Yazit yang mengecam Search di laman sosial,” katanya tegas.

Sementara itu, Amy berkata, hatinya terguris apabila dikatakan menggunakan agama untuk kepentingan peribadi.

“Kasihan anak-anak murid saya di sekolah Tahfiz Al-Bayan kerana mereka tak tahu apa-apa. Saya bimbang ibu bapa mereka akan berprasangka buruk terhadap saya lantaran dakwaan Yazit.

“Sebenarnya wang pendahuluan RM75,000 yang diberikan penganjur AF Jet Sdn Bhd untuk Konsert 35 Tahun Search hanya 30 peratus dan digunakan untuk tujuan promosi. Banyak perkara perlu diutamakan bagi melancarkan penganjuran konsert ini.

“Sekiranya Yazit masih mengulangi tuduhan ini, kami memberikan tempoh 48 jam untuk dia minta maaf. Semua terpulang kepada Yazit, jika tidak kami akan ambil tindakan undang-undang terhadapnya demi menjaga nama baik kami,” katanya.

Search turut memaklumkan pihak AF Jet dikatakan sudah melunaskan bayaran RM10,000 kepada Yazit. Malah, mereka menyerahkan kepada Yazit sama ada masih mahu bersama Search atau sebaliknya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");