Berita Hari Ini

Selidik kesahihan elak berlaku fitnah

KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini perlu menyelidik kesahihan setiap maklumat dan tidak mudah menghebahkan perkara yang boleh mendatangkan fitnah serta permusuhan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkembangan teknologi kini boleh membawa implikasi besar jika disalah gunakan sehingga boleh menghakis nilai-nilai kemanusian dan rasa hormat-menghormati.

“Justeru, umat Islam perlu tabayyun (menyelidik) kerana penyalahgunaan teknologi komunikasi boleh membawa kepada fitnah siber seterusnya mencetuskan permusuhan dalam kalangan umat Islam,” katanya dalam ucapan sempena perasmian Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran (MTHQA) peringkat antarabangsa ke-58 di Kuala Lumpur.

Penganjuran tilawah antarabangsa tahun ini bertemakan “Perpaduan Nadi Transformasi Negara” berlangsung selama empat hari bermula hari ini.

Sebanyak 68 peserta akan memperdengarkan bacaan terdiri daripada 38 peserta bagi kategori tilawah dan 30 peserta bagi kategori hafazan.

Bagi kategori hafazan, Malaysia diwakili Mohamad Omar Mansu dan Farihah Zulkifli iaitu johan lelaki dan wanita Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-37.

Untuk kategori tilawah, johan qari dan qariah Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-59 iaitu Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dan Nor Azrah Ayob akan mewakili Malaysia.

Johan qari dan qariah kategori tilawah bakal membawa pulang kepingan emas bernilai RM70,000 tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), piala iringan dan wang tunai RM40,000 manakala bagi kategori hafazan, johan hafiz dan hafizah bakal menerima kepingan emas bernilai RM20,000 tajaan Yapeim, piala iringan dan wang tunai RM20,000.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");