Isu Panas

Sokongan kepada BN makin kukuh jika…

SHAH ALAM – Sokongan kepada BN akan semakin kukuh seterusnya dapat meraih sokongan majoriti pengundi sekiranya Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan jawatannya kepada penyandang baharu.

Demikian ramal penganalisis politik, Dr Muhammad Shamshinor Abdul Azzis yang bagaimanapun berkata, perkara itu juga bergantung pada personaliti dan latar belakang penyandang baharu tersebut.

“Jika pengganti Najib merupakan seseorang yang berlatar belakang dan mempunyai personaliti seperti Pak Lah (bekas Perdana Menteri sebelum Najib, Tun Abdullah Ahmad Badawi), mungkin sokongan terhadap BN akan kuat seperti dahulu.

“Rakyat sukakan pemimpin yang bebas daripada apa-apa isu atau kontroversi. Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri) juga banyak terpalit isu dan kontroversi, sokongan terhadap kerajaan berkurang pada masa itu, namun bila digantikan dengan Pak Lah, BN kembali meraih sokongan,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Shamshinor yang juga merupakan Ketua Kluster Politik dan Polisi bagi sebuah institut kajian sosial di sebuah universiti tempatan berkata demikian mengulas mengenai kemenangan BN di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, baru-baru ini.

Menurut beliau, kemenangan BN pada PRN yang lalu bukanlah kayu pengukur utama kekuatan BN.

Sebaliknya ujar beliau, BN perlu mengambil kira beberapa faktor lain di sebalik kemenangan itu.

“Mungkin BN menang bukan kerana kekuatannya, tetapi lebih kerana kelemahan Pakatan membentuk persepakatan. BN jangan terlalu selesa dengan apa yang berlaku di PRN Sarawak.

“Kalau Najib sengaja turun, sokongan terhadap BN mungkin pulih,” katanya lagi.

Pada PRN 7 Mei lalu, BN berjaya mengekalkan pemerintahan di Sarawak selepas menang besar sekali gus melakukan tsunami ke atas pembangkang yang melakukan kejutan dengan memenangi sebahagian besar kerusi bandar pada PRN 2011.

Kemenangan itu adalah mandat dan kepercayaan rakyat kepada Tan Sri Adenan Satem yang mengambil alih jawatan Ketua Menteri daripada Tun Abdul Taib Mahmud dua tahun lalu.

BN yang diterajui Team Adenan melepasi sasaran untuk memenangi 70 kerusi yang disasarkan sebelum ini dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");