Isu Panas

Surat Anwar bukti konflik dalaman Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR: Kemunculan warkah dari penjara oleh bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa hari lalu, dengan memberi amaran kepada pemimpin pembangkang tentang bahayanya kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad membuktikan wujudnya konflik dalaman dalam Pakatan Harapan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, percanggahan pendapat antara Anwar dengan pemimpin Pakatan Harapan khususnya dalam PKR menguatkan andaian bahawa kumpulan penyokong presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim kini tidak sehaluan dengan penyokong Deklarasi Rakyat.

“Apabila surat ini dikeluarkan, kumpulan yang bersama dengan Presiden PKR, dilihat seakan-akan tidak berpuas hati dengan apa dilakukan oleh sesetengah pemimpin Pakatan Harapan dengan menyokong Deklarasi Rakyat ini.

“Mengapa perlu surat itu datang, sedangkan ia diputuskan dan dihadiri oleh semua pemimpin Pakatan Harapan? Ia boleh melemahkan perjuangan PKR yang ingin melihat bekas ketua umumnya dibebaskan dan mengetuai Pakatan Harapan,” katanya kepada Sinar Harian, di lobi Parlimen, semalam.

Beliau mengulas pendedahan surat tulisan tangan Anwar pada Ahad lalu yang menggesa pemimpin pembangkang supaya berwaspada dengan kerjasama Mahathir dalam Deklarasi Rakyat untuk mendesak Najib meletakkan jawatan Perdana Menteri kerana skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu penyaluran dana RM2.6 bilion.

Mengulas lanjut, Irmohizam juga berkata, kemunculan surat Anwar itu dipercayai mempunyai motif tertentu, di samping menyerlahkan kelemahan pemimpin pembangkang.

“Gerakan Deklarasi Rakyat ini dilihat sudah meluas ke seluruh negara, tiba-tiba surat ini dikeluarkan. Jadi mesti ada motif tertentu yang ingin disampaikan oleh bekas ketua pembangkang yang kini berada di penjara Sungai Buloh.

“Saya lihat dengan adanya percanggahan ini, ia memberikan kekuatan dan keyakinan kepada kerajaan BN dalam pilihan raya kecil akan datang untuk mereka memastikan kemenangan calon-calon mereka Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar,” katanya lagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");