Sukan Hari Ini

Tak cukup kriteria

Kuala Lumpur: Perenang negara Chui Lai Kwan perlu sedar kedudukannya sebelum membuat kenyataan berhubung tidak tersenarai daripada menyertai sirkit Mare Nostrum di Eropah bulan depan.

Setiausaha Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Mae Chen berkata, pertandingan di Eropah itu diaturkan untuk atlet yang berjaya meraih pingat ketika di temasya Sukan SEA Singapura selain mereka di bawah program Kita Juara (KJ).

Tegasnya Lai Kwan tidak memiliki kedua-dua kriteria ditetapkan itu.

Justeru, perenang itu seharusnya sedar akan kedudukannya ketika ini serta sebab mengapa dia tidak dibawa bersama skuad negara ke Eropah.

“Lai Kwan sebelum ini ditawarkan menyertai program KJ berdasarkan keupayaannya menyumbangkan pingat buat negara.

“Tawaran sudah dikeluarkan, namun dia menolak untuk berada dalam skuad kebangsaan dan juga program itu.

“Jadi, jelas sekali tiada sebab untuk dia dibawa bersama ke Eropah.

“ASUM tidak boleh sewenang-wenangnya membawa atlet menyertai mana-mana pertandingan hanya kerana alasan atlet itu layak atau atlet itu bagus.

“Jika begitu pastinya ramai lagi atlet seperti contohnya, Johor, Sabah atau negeri lain mahu atlet di bawah naungan mereka menyertai mana-mana pertandingan,” katanya merujuk keputusan yang dipersetujui jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara.

Mae berkata, seramai enam atlet akan menyertai sirkit Mare Nastrum di Eropah bulan depan membabitkan pertandingan di Barcelona, Monaco dan Cannes di Perancis.

Mereka membabitkan Welson Sim, Kevin Yeap, Wong Fu Kang, Phee Jinq En, Khoo Cai Lin dan Erika Kong dalam usaha mereka untuk melayakkan diri ke Olimpik Rio.

Sebelum ini Lai Kwan mendakwa, namanya diketepikan daripada menyertai sirkit di Eropah biarpun sudah melepasi syarat kelayakan kategori B dalam acara 50m gaya bebas.

Katanya, dia diketepikan tanpa dimaklumkan sebarang alasan.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");