Berita Hari Ini

Tiada Kosmetik Mengandungi Kanabis Dijual Di KLIA, KLIA2 – KKM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada kosmetik mengandungi kanabis dijual di premis kosmetik di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) kementerian telah membuat pemeriksaan ke atas 22 premis menjual kosmetik dan mendapati tiada premis yang menjual kosmetik seperti dinyatakan.

“Pihak Seksyen Farmaseutikal Siber, BFF dan kementerian juga telah membuat permantauan ke atas laman sesawang dan media sosial bagi mengesan mereka yang menjalankan perniagaan barang kosmetik tidak bernotifikasi dan ubat-ubat tidak berdaftar secara dalam talian.

“Tahun lalu, beberapa laman web dan medium laman sosial Facebook yang menjual kosmetik mengandungi kanabis dikesan serta dilaporkan kepada Bahagian Narkotik, Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, Sabtu.

Sehingga kini, tiada laporan mengenai rampasan kanabis dalam kosmetik diterima BPF, katanya.

Noor Hisham mengulas kenyataan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dalam persidangan Dewan Negara pada 3 Mei lepas yang mendedahkan ada barang kosmetik seperti gincu, losyen dan pelembap bibir mengandungi kanabis dijual di lapangan terbang dan secara dalam talian.

Mengulas lanjut, beliau berkata produk kosmetik di Malaysia dikawal pengimportan, pengilangan, penjualan, pembekalan dan pemilikannya di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Peraturan 18A(5), Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 telah menetapkan mana-mana orang yang bertanggungjawab meletakkan kosmetik bernotifikasi di pasaran perlu memohon nota notifikasi daripada pengarah perkhidmatan farmasi.

“Nota notifikasi bukan bukti yang menunjukkan produk kosmetik tersebut telah mendapat kelulusan KKM kerana kawalan kosmetik di Malaysia adalah bersifat kawalan kendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, pemegang nota notifikasi adalah bertanggungjawab untuk memastikan produk kosmetik bernotifikasi adalah selamat, berkualiti dan tuntutan yang digunakan ke atas produk adalah memenuhi skop takrifan kosmetik serta dapat disokong dengan data yang mencukupi.

“Permohonan notifikasi kosmetik hanya boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem quest yang boleh dilayari di laman sesawang Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) iaitu www.bpfk.gov.my.

“Sistem quest tersebut dilengkapi dengan sistem yang mampu untuk menyaring formulasi kosmetik yang dinotifikasi oleh pihak syarikat kepada BPFK…ini untuk memastikan kosmetik yang dinotifikasi adalah selamat dan berkualiti serta bebas daripada bahan terlarang atau bahan yang melebihi had yang dibenarkan,” katanya.

BPFK akan menjalankan pemantauan ke atas kosmetik bernotifikasi di pasaran untuk memastikan pemegang notifikasi mematuhi garis panduan dan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan, katanya.

Noor Hisham memberi amaran kepada pembekal dan pengguna supaya tidak mengimport dan memiliki produk kosmetik yang mengandungi kanabis kerana ia dikawal di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, pengguna digalak untuk melaporkan kepada BPFK jika mereka mendapati mana-mana produk kosmetik yang mencurigakan di pasaran atau mengalami reaksi alergi kesan daripada penggunaan produk kosmetik melalui e-mel kepada [email protected] atau hubungi di talian 03-78838496/5532.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");