Berita Hari Ini

TUDM henti khidmat pesawat Pilatus PC-7, Aloutte

ALOR SETAR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menghentikan penggunaan pesawat Pilatus PC-7 dan helikopter Aloutte III dalam sesi latihan penerbangannya sedikit masa lagi.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Roslan Saad berkata, kedua-dua pesawat itu yang mencurah khidmat selama 53 tahun akan ditamatkan secara peringkat dan digantikan dengan PC-7 MK II dan helikopter EC 120B demi peningkatan keupayaan dan kemahiran bakal juruterbang.

Beliau berkata, ia selaras dengan perkembangan teknologi terkini dunia penerbangan dan pesawat laithan generasi baru itu mampu meningkatkan tahap kualiti kemahiran pelatih TUDM.

“Graduan ini adalah kumpulan terakhir menjalani latihan penerbangan menggunakan Pilatus PC-7 dan Aloutte III,” katanya selepas menyampaikan sayap penerbangan kursus asas penerbangan siri 77, kursus asas peralihan helikopter siri 56 dan kursus asas peralihan kuartermaster udara pesawat Nuri siri 28 di Kolej Tentera Udara (KTU), di sini, semalam.

Menurutnya, konsep baru dengan peralatan latihan penerbangan yang lebih moden dan terkini membolehkan pelatih boleh terus pandu pesawat TUDM selepas tamat latihan.

“Sekarang kita ada tiga helikopter dan akan dapat tambahan dua menjadikan lima helikopter untuk latihan penerbangan.

“Ia adalah milik sebuah syarikat tempatan yang disewa khas oleh TUDM dengan bayaran ikut jam penerbangan pada setiap bulan,” katanya.

Ketika ini, TUDM mempunyai 12 Aloutte III dan mengambil masa begitu lama untuk kerja penyelenggaraan berbanding pesawat baru 85 hingga 90 peratus abilitinya sudah ada.

“Kita guna konsep sewa jam dan ini bermakna syarikat itu akan selenggara helikopter berkenaan secara menyeluruh sebelum diterbangkan pelatih TUDM,” katanya.

Roslan berkata, kaedah itu secara tidak langsung menjimatkan perbelanjaan TUDM untuk jangka panjang selain meningkatkan produktiviti juruterbang untuk keluar.

Pada majlis itu, sembilan graduan kursus asas penerbangan siri 77 dan 12 graduan kursus asas helikopter siri 56 dianugerahkan sayap penerbangan sebagai titik permulaan untuk berkhidmat sebagai juruterbang TUDM.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");