Jenayah

Tumpas kegiatan curi hasil laut

KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Wilayah Timur menahan sebuah bot nelayan asing bersama seorang tekong dan lima awak-awak ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah, Daerah Maritim 9 (DM9), Negeri Terengganu, Kapten Zainol Abidin Jusoh berkata, bot nelayan asing yang berasal dari Vietnam itu ditahan oleh pasukan Maritim DM9 yang sedang bertugas menjalankan operasi Perkasa Timur di perairan Terengganu.

Menurutnya, bot itu ditahan ketika pemeriksaan dilakukan 109 batu nautika dari perairan Terengganu jam 4 petang pada 12 Mei lalu.

“Hasil siasatan mendapati seorang tekong dan lima awak-awak tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan bot yang digunakan untuk menangkap hasil laut juga tiada lesen dan permit yang sah.

“Tiga awak-awak yang ditahan masing-masing berusia 16 tahun sementara tekong dan dua lagi awak-awak berusia lingkungan 32 hingga 38 tahun. Kesemua yang ditahan dibawa ke jeti Maritim bersama rampasan bernilai RM400,000 melibatkan bot, minyak diesel dan hasil tangkapan seberat satu tan,” katanya.

Zainol Abidin berkata, tangkapan itu adalah kali ke 24 tahun ini dan melibatkan penahanan paling ramai membabitkan awak-awak berusia 16 tahun.

“Kita sedang menyiasat dari segi penglibatan awak-awak yang berusia 16 tahun ini kerana kali ini paling ramai awak-awak berusia lingkungan itu yang ditahan pihak berkuasa.

“Ketika pemeriksaan, kita juga mendapati terdapat lebih 100 joran dipercayai digunakan untuk menangkap sotong dan hasil laut yang lain dan dipasang di sepanjang bot. Ini adalah taktik dan modus operandi baharu yang pertama kali kita temui,” katanya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 jika sabit kesalahan bot boleh dirampas manakala tekong di denda RM1 juta dan awak-awak boleh didenda sehingga RM500,000.

Katanya lagi, pemantauan rapi akan terus dijalankan memandangkan di Terengganu kini dalam musim mencandat sotong dan dikhuatiri kehadiran nelayan asing ini akan memberikan kesan terhadap hasil tangkapan nelayan tempatan.

“Kehadiran nelayan ini tidak kira waktu dan mereka akan mencerobohi perairan sekiranya mendapati ada banyak hasil laut di perairan negara. Jadi, pemantauan dan rondaan akan dilakukan secara berterusan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");