Isu Panas

Umno akan guna pendekatan ‘soft selling’

SUNGAI BESAR – Umno merancang menggunakan pendekatan secara halus ‘soft selling’ seperti program ceramah kecil bagi menarik lebih ramai pengundi menyokong BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya mensasarkan mampu mengadakan sekurang-kurangnya dua ceramah kecil di setiap cawangan meliputi hampir 300 ceramah kecil di Parlimen itu sebelum penamaan calon 5 Jun depan.

“Lepas penamaan calon, kita ada lebih banyak lagi program ceramah kecil dengan tumpuan lebih tertumpu pada ceramah sebelum berbuka puasa, iftar dan selepas terawih,” katanya kepada Sinar Harian selepas Taklimat Jentera Penerangan Umno Selangor di Bangunan Umno Sungai Besar.

Beliau menjelaskan, pendekatan soft selling itu dilihat lebih membantu kepada kemenangan BN sepertimana yang dilakukan di Sarawak berbanding kempen-kempen berbentuk serangan peribadi, fitnah dan pendekatan yang agresif.

Ditanya tentang pertemuannya dengan jentera penerangan empat peringkat Umno Selangor, Annuar berkata, perjumpaan itu penting sebagai pendekatan dalam memastikan BN mestilah bersikap mesra pengundi dan berpegang kepada fakta yang jelas.

“Ini pengajaran yang kita terima dari Pilihan Raya Negeri (Sarawak). Selama mana kita berani menjelaskan fakta dan kebenaran, pengundi tidak ada masalah untuk menerimanya.

“Sebab itu, saya ingin memastikan kita bergerak secara berhemah, kepimpinan solid, tumpukan pada program secara langsung dengan turun padang di peringkat akar umbi dan tumpukan kepada pendekatan selari dengan agama iaitu bilhikmah (bijaksana) dan Hassanah (kebaikan),” katanya.

Sehubungan itu, Annuar menjelaskan, Umno tidak hanya boleh bergantung kepada pengundi Umno tradisi semata-mata untuk menang dalam pilihan raya.

“Kita nak pengundi-pengundi Cina kembali kepada BN. kita nak juga pengundi-pengundi yang terkeluar menyokong parti pembangkang atau pun yang begitu ramai dikatakan tak keluar mengundi supaya kembali ke BN.

“Sebab itu, asasnya mereka (pengundi) perlu memahami PRK ini adalah peluang untuk mereka membuat kebaikan, bersatu-padu untuk mempunyai pemimpin yang dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, katanya, Umno juga sedang berusaha memberi tumpuan terhadap peningkatan pengurusan dan penguasaan media baharu bagi memberi lebih banyak penerangan kepada orang awam terhadap isu yang dibangkitkan.

“Penguasaan media baharu dalam Umno makin bertambah baik. Ini bukan bermakna sudah cukup baik, sebab kita bukan berhadapan dengan pembangkang sahaja, tapi orang ramai.

“Cuma kita kena bezakan, bila dalam media baharu orang yang buat teguran dan kritikan terhadap kerajaan bukan bermakna mereka pembangkang, tetapi mereka ini masih pengundi kita (BN) dan memerlukan penjelasan yang tepat,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");