Isu Panas

Umno Kelantan sedia bantu Umno Sg Besar, Kuala Kangsar

MACHANG – Umno Kelantan kini bersiap siaga membantu Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor dan Umno Bahagian Kuala Kangsar, Perak untuk mempertahan kerusi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kedua-dua Parlimen tersebut, 18 Jun ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata jumlah keanggotaan delegasi Kelantan bergantung kepada permintaan kedua-dua Umno bahagian berkenaan.

“Yang penting sekarang kita mahu kedua-dua Umno bahagian itu menamakan kawasan penempatan mana yang dikhususkan kepada Umno Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gotong-Royong Perdana di bandar Machang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Jazlan berkata selain jentera parti, Umno Kelantan juga akan menghantar tenaga penceramah berpengalaman yang mampu menangkis pelbagai isu yang dilemparkan, parti pembangkang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan serentak dengan hari penamaan calon pada 5 Jun, pengundian awal 14 Jun dan hari mengundi pada 18 Jun.

Kekosongan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar masing-masing berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Program gotong-royong itu disertai lebih 700 peserta, terdiri daripada pegawai kerajaan, pihak swasta, badan berkanun dan penduduk bandar Machang selain Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");