Berita Hari Ini

Zika: Johor perlu tingkat kawalan pintu masuk

KUALA LUMPUR – Pejabat Kesihatan di Johor Baharu, Johor diarah untuk meningkatkan pengawasan di pintu masuk negara sebagai langkah berjaga-jaga susulan kes virus Zika yang direkodkan di Singapura, Jumaat lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata sebagai tindakan pencegahan, kerjasama turut dijalin dengan pihak berkuasa Indonesia dan Thailand bagi berkongsi maklumat mengenai penularan virus berkenaan.

“Bagaimanapun, Malaysia masih bebas dan selamat daripada virus Zika,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia dan Bulan Pemakanan peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini, hari ini.

Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Persekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura pada Jumaat mengumumkan republik itu menjadi negara kedua di rantau Asia Tenggara, selepas Vietnam yang dilaporkan mengimport kes pertama virus Zika.

Mangsa dikatakan lelaki berusia 48 tahun, pemastautin tetap yang pernah mengembara ke Sao Paulo, Brazil bermula 27 hingga 7 Mei lalu.

Dr Hilmi berkata memandangkan virus Zika adalah sejenis virus yang disebarkan oleh nyamuk aedes aegypti yang merupakan vektor sama untuk penyakit demam denggi, usaha pencegahan perlu ditingkatkan memandangkan nyamuk itu sememangnya sudah ada di negara ini.

“Merujuk kepada statistik Kementerian (Kesihatan), kes denggi yang juga dibawa oleh nyamuk aedes menunjukkan penurunan daripada 3,500 kes pada minggu pertama awal tahun ini kepada hanya 1,500 kes untuk sepanjang minggu lepas.

“Penurunan ini sedikit sebanyak dibantu oleh fenomena El Nino yang melanda negara telah mengakibatkan tempat pembiakan nyamuk aedes terjejas,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");