Jenayah

884 karton rokok seludup dirampas

KUANTAN – Serbuan sepasukan anggota polis Marin ke sebuah rumah dalam pembinaan berhampiran Sungai Kuantan di Kampung Kurnia, Batu 3, Jalan Kuantan, Gambang di sini membongkar kegiatan sindiket penyeludupan rokok apabila mendapati premis itu dijadikan stor penyimpanan.

Dalam serbuan pada kira-kira jam 3 pagi, 31 Mei lalu itu, polis marin menemui dan merampas 884 karton rokok seludup pelbagai jenama dengan anggaran nilai rampasan termasuk duti dan cukai mencecah RM70,000.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan ketika serbuan memandangkan rumah yang dijadikan stor penyimpanan itu tidak berpenghuni.

Menurutnya, kejayaan itu susulan maklumat risikan berhubung berlakunya aktiviti penyeludupan dan pengedaran rokok seludup di kawasan pesisir Sungai Kuantan.

“Bertindak atas maklumat sepasukan anggota polis marin diketuai Asisten Superintendan Armi Alpaka melakukan serbuan ke atas rumah tersebut.

“Kita dapati rumah yang terletak berhampiran sungai Kuantan itu masih dalam pembinaan dan tidak berpenghuni,” katanya.

Zulkafli berkata, keadaan rumah itu mungkin sebahagian taktik penyeludup untuk menyorok rokok bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Bagaimanapun hasil pemeriksan lanjut ke atas rumah tersebut, kita menemui beberapa kotak dan bungkusan plastik hitam berisi rokok-rokok seludup,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan rokok-rokok itu menunggu masa untuk diedarkan di sekitar daerah ini terutama kepada nelayan pesisir susulan permintaan terhadap rokok ‘murah’ itu amat tinggi.

“Kesemua rokok yang dirampas di bawa ke Markas Polis Marin Wilayah Tiga untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");