KUALA LUMPUR – Aktiviti penyeludupan mercun dan barangan keperluan harian di sempadan negara dipercayai akan lebih aktif dalam tempoh tiga minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, susulan itu tentera akan melipatgandakan rondaan untuk menyekat kegiatan itu yang mungkin turut melibatkan barangan terlarang.
“Kami akan melipatgandakan operasi dan rondaan di sempadan kerana kami tahu penyeludup akan cuba bawa masuk barang larangan seperti mercun untuk stok musim perayaan,” katanya kepada Bernama.
Tanpa mendedahkan bilangan anggota bertugas, Zulkifeli berkata, aktiviti penyeludupan pada kebiasaannya aktif sekitar waktu magrib.
“Kami percaya penyeludup ambil kesempatan waktu berbuka puasa dan solat tarawih untuk melakukan kegiatan mereka. Rondaan akan ditingkatkan pada waktu itu,” katanya.
Di KOTA BHARU, Pemangku Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, Inspektor Virak Kongpet berkata, kawalan di sempadan negeri dipertingkat bagi mengekang penyeludupan, terutama mercun menjelang musim perayaan ini.
“Operasi secara berkala akan dilakukan dalam tempoh terdekat terutama pada waktu malam dan awal pagi di sepanjang sempadan Sungai Golok,” katanya.
Virak berkata operasi akan memberi fokus kepada pergerakan enjin bot galah yang dikesan digunakan penyeludup saban tahun.
Di KANGAR, Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata pihaknya mengesan aktiviti penyeludupan barang bersubsidi ke negara jiran secara kecil-kecilan melalui pintu-pintu sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Menurutnya, aktiviti itu dilakukan oleh warganegara jiran dan orang tempatan dengan menggunakan motosikal untuk membawa minyak masak, tepung dan gula dalam kuantiti kecil.
“Ia dilihat banyak berlaku di Wang Kelian berbanding Padang Besar namun kami sentiasa memerhati pergerakan dan kekerapan mereka keluar masuk setiap hari,” katanya.
Syed Basri berkata walaupun jumlah yang dibawa keluar tidak banyak tetapi jika sehari sampai lima atau enam kali keluar masuk, kuantiti yang dibawa menjadi besar.
Menurutnya, mercun dan bunga api paling banyak diseludup selain beras pulut kerana permintaan yang tinggi dalam bulan puasa.
Di IPOH, Timbalan Pengarah Kastam negeri, Bahagian Perkastaman (Kawalan Sempadan dan Fasilitasi) Kamaruddin Ahmad berkata kawalan di kawasan seperti sempadan Bukit Berapit dan Pengkalan Hulu diperketat bagi mengekang kegiatan penyeludupan menjelang musim perayaan ini.
“Kami mempunyai dua lorong pintu masuk di sempadan iaitu lorong yang melibatkan pemandu kereta dan lorong yang membawa barang import dan eksport.
“Kami akan pastikan setiap kenderaan diperiksa termasuk lori yang membawa buah-buahan kerana kami khuatir mereka menyembunyikan barang terlarang seperti bunga api, mercun dan beras pulut,” katanya kepada Bernama.
Menurut Kamaruddin, Bahagian Penguatkuasaan Kastam bekerjasama dengan Aksem Perak bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibanteras habis-habisan.
“Setakat ini, kami mempunyai anggota Bahagian Penguatkuasaan Kastam dari Pengkalan Hulu yang mencukupi untuk mengadakan kawalan di sempadan berkenaan,” katanya. – Bernama