Bulan puasa ini pastinya antara bulan yang dinanti-nantikan golongan selebriti terutama yang berniaga di bazar atau pasar Ramadan.
Sana sini ada saja aktiviti berjual beli sehinggakan naik rambang mata Cik Pang dibuatnya! Tapi dalam berjual beli tu, janganlah lupa tanggung jawab bayar zakat fitrah dan menunaikan solat wajib serta amalan sunat ya!
Terbaru, masyarakat sekitar Seri Kembangan, Putrajaya, Cyberjaya, Dengkil dan Sepang pasti tidak mahu lepaskan peluang bertemu selebriti popular di Ekspo Mega Raya Putrajaya di depan Istana Kehakiman Putrajaya mulai minggu ini.
Antara yang akan ‘berkampung’ di sana selama hampir sebulan ialah kumpulan Bunkface, Nubhan, Ain Sufia, Sheila Mambo dan ramai lagi.
Mereka bukan saja akan menjual produk masing-masing, malah akan turut serta berkongsi pengalaman dan tips menarik sempena Ramadan.
Selain aktiviti berjual beli, pihak penganjur turut mengadakan aktiviti lain seperti ceramah agama, acara berbuka puasa dan terbaru, Putrajaya Idol yakni pertandingan karaoke lagu-lagu raya.
Pengunjung yang nak tahu lebih lanjut mengenai acara itu bolehlah melayari laman sosial Instagram dan Facebook dengan carian Teraju Asia Ventures.
-Harian metro