Membawang Hari Ini

Bakti Ina, Suhaimi

Sekian lama menyepi, Ina Naim kembali mengasah bakat nyanyian dengan berpadu suara dengan suaminya, Mohd Suhaimi Saad menerusi lagu Jutawan Pemurah.

Lagu itu menyeru mereka yang berkemampuan menghulurkan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik terutama pada Ramadan dan Syawal.

Menurut Suhaimi, semua orang mahu jadi jutawan, tetapi jadilah orang berharta yang dermawan.

“Kalau hidup kaya raya, jadilah orang yang pemurah agar dapat membantu mereka yang susah. Namun, andai kita miskin, janganlah cepat berputus asa, sebaliknya jadilah orang yang bersabar dan bersyukur dengan apa yang ada.

“Itulah antara mesej yang saya dan Ina cuba sampaikan dalam lagu Jutawan Pemurah. Setiap daripada kita yang hidup di dunia ini ada bahagian masing-masing dan kita saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai penghasilan lagu itu, Suhaimi berkata, ia dibuat sempena pembabitan mereka dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pembangunan Insan Sabah Care yang rancak mengumpul dana di sekitar Lembah Klang bagi menjalankan misi dakwah di kawasan pedalaman Sabah.

“Terdapat beratus-ratus kampung di pedalaman Sabah yang memerlukan perhatian daripada sudut pembangunan insan. Sabah Care adalah NGO yang bertanggungjawab menguruskan dan melaksanakan amanah ini. Pertubuhan itu juga sentiasa menjalankan pelbagai aktiviti seperti memantau perkembangan prasarana yang sudah dibangunkan semula atau dibaikpulih dan dibina baru serta membantu menjana pendapatan penduduk pedalaman negeri itu dengan membantu memasarkan produk kampung.

“Aktiviti lain, mengadakan motivasi dan menjaga kebajikan pelajar sekolah, mewujudkan sistem keluarga angkat agar hubungan lebih akrab demi pembangunan insan dan mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma secara berterusan.

“Sabah Care juga sudah menghantar 100 imam ke kawasan pedalaman Sabah untuk menyampaikan ajaran Islam. Turut diedarkan telekung dan al-Quran,” katanya.

Bawa anak ke bazar

Menurut Ina atau nama sebenarnya, Nordiana Mohd Naim, sepanjang Ramadan ini hampir setiap hari dia dan Suhaimi berada di bazar Ramadan sekitar Lembah Klang menyanyi sambil mengumpul sumbangan daripada orang ramai.

Mereka turut bawa bersama empat cahaya iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 8, Salman Elkhoyri 6, Phyrosh Elfadwah, 4 dan Nur Layla Elghufrony, 18 bulan untuk memberi pendedahan membuat persembahan depan orang ramai memandangkan mereka juga berbakat dalam bidang seni suara.

Di bawah syarikat penerbitan mereka sendiri, Karya Mosus, Ehmad dan Salman sudah merakamkan album doa serta selawat.

“Keempat-empat anak kami minat menyanyi dan senang bekerja dengan Ehmad serta Salman kerana mereka mudah ingat doa serta selawat yang diajar. Rakaman siap dalam masa tiga hari tanpa melakukan banyak kesilapan,” katanya.

Dengan pembabitan seluruh keluarga itu dalam bidang seni, ia merapatkan lagi hubungan mereka apabila Suhaimi yang juga bekas guru mengajar sendiri anaknya di rumah.

Selain itu, setiap Selasa, Rabu dan Khamis, Suhaimi dan Ina mengajar anak-anak jiran seramai 15 orang mengaji al-Quran di rumah mereka di Setia Alam, Shah Alam.

Pasangan itu juga mengeluarkan produk minda untuk kanak-kanak dan Ina juga akan mengeluarkan purdah jenama Ina Naim. Mereka sedang mencari kain yang sesuai dan selesa untuk dipakai.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");