Membawang Hari Ini

Belum pasti beraya di mana

Seperti tahun-tahun terdahulu, persiapan lebaran bagi pelakon Nabila Huda tidak banyak berbeza, namun lebih istimewa kerana bakal meraikannya dengan suami tercinta.

Jelas Nabila, menjadi kelaziman dia membeli baju dan persiapan lain pada saat akhir.

“Sambutan kali ini pasti lebih manis dengan adanya suami. Sama macam dulu, saya buat persiapan pada penghujung Ramadan.

“Tidak sukar untuk saya membeli-belah pada saat akhir kerana sudah terbiasa,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai sambutan Aidilfitri, ada sahaja pengalaman manis yang mampu membuatkan pelakon ini tersenyum sendiri.

“Pernah saya tidak melakukan apa-apa persiapan. Sehari sebelum raya, barulah saya kelam-kabut mencari pakaian dan keperluan lain.

“Gigih saya mencari sehingga jam 4 pagi. Setiap kali ingat perkara ini pasti saya tergelak,” katanya.

Menurut Nabila lagi, kemeriahan Aidilfitri kali ini lebih terasa apabila zuriat kesayangannya, Kesha ada bersama.

“Tahun ini, giliran Kesha beraya bersama saya. Jadi, kalau ada persiapan awal pun kebanyakannya untuk dia dan suami.

“Suami saya tidak cerewet dalam pemilihan warna, tema dan sebagainya. Jadi, persiapan untuk keluarga kami boleh dikatakan sederhana, namun masih ada kemeriahannya,” katanya.

Ditanya mengenai giliran pertama pulang beraya, Nabila masih belum ada jawapan yang pasti.

“Saya dan suami masih berbincang mengenai lokasi beraya sama ada di kediaman keluarga saya terlebih dahulu atau di sebelah keluarganya di Singapura.

“Apa pun, kami tetap akan beraya dengan kedua-dua keluarga. Saya hanya bercuti selama lima ke enam hari, jadi akan saya manfaatkan masa bersama keluarga dengan sebaik-baiknya,” katanya riang.

Menyentuh soal karier, Nabila bakal muncul dengan telefilem baru berjudul Tercipta Untukku, bergandingan dengan Remy Ishak.

“Tercipta Untukku sebuah karya cinta yang lain daripada lain. Jalan ceritanya unik, mengisahkan Adil dan Fathia yang saling mencintai.

“Pun begitu, mereka menghitung hari menanti detik kematian masing-masing kerana menghidap sakit otak,” katanya.

Selain itu, Nabila juga bakal beraksi dalam teater Lela Manja menerusi watak Dang Suri yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 22 hingga 31 Julai ini.

Dia kini terikat dengan penggambaran program Seniman terbitan RTM.

“Saya mengacarakan program ini yang mengupas mengenai tokoh hebat arena seni.

“Menerusi program ini, pelbagai maklumat menarik akan dicungkil dan dikongsi untuk tatapan bersama,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");