Berita Hari Ini

Bukan graduan taraf rendah

JERTIH – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggesa masyarakat khususnya ibu bapa dan pelajar tidak memandang rendah prestasi politeknik dan kolej komuniti dalam arena pendidikan tinggi negara.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, masyarakat perlu mengetepikan persepsi kononnya dua institusi di bawah kementerian itu bertaraf rendah sedangkan ia institusi separa profesional yang melahirkan graduan berkualiti.

Menurutnya, keboleh pasaran graduan kolej komuniti dan politeknik melebihi tanda aras pencapaian antarabangsa yang menetapkan 80 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

“Pencapaian terkini menunjukkan keboleh pasaran graduan politeknik sebanyak 86 peratus sementara kolej komuniti lebih tinggi iaitu antara 94 hingga 96 peratus.

“Ibu bapa dan pelajar seharusnya tidak merasa rendah diri apabila berada di kedua-dua institut tersebut, sebaliknya perlu berbangga,” katanya pada Majlis Bantuan Pelajar IPT Peringkat Matrikulasi dan Diploma oleh Yayasan Terengganu di Masjid Hadhari, semalam.

Idris berkata, keboleh pasaran universiti awam pula adalah sebanyak 80 peratus iaitu mencapai tanda aras antarabangsa.

“Pencapaian sedemikian di universiti awam lain kerana ada juga kursus yang ditawarkan membabitkan bidang sastera, sejarah dan bidang kesenian lain kerana universiti bukan semata-mata untuk keboleh pasaran kerja semata-mata.

“Negara juga memerlukan golongan demikian agar ada keseimbangan dalam membangunkan negara. Namun kementerian berusaha meningkatkan lagi keboleh pasaran kerja graduan universiti melalui program seperti purata nilai gred kumulatif (CGPA) bersepadu, pelaksanaan Program Dua Universiti + Dua Industri (2u2i) dan CEO@Fakulti,” katanya.

Idris menambah, program ini sekali gus akan mengurangkan kadar graduan universiti sukar mendapat pekerjaan selepas mereka tamat pengajian.

Menurutnya, 2u2i merupakan program belajar sambil bekerja yang memperuntukkan penuntut belajar di kampus selama dua tahun dan menimba pengalaman dalam industri selama dua tahun lagi.

“Ini usaha meningkatkan keboleh pasaran, persediaan dan kemahiran pelajar universiti untuk alam pekerjaan. Pengalaman industri amat penting,” katanya.

Menyentuh mengenai penyampaian bantuan kepada rakyat yang dapat melanjutkan pengajian ke IPT, Idris berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM25 juta setahun untuk tujuan tersebut yang hanya dilaksanakan kerajaan Terengganu.

Sementara itu, seramai 208 penerima menerima bantuan RM500 kerajaan negeri bagi pelajar yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi dan RM1,250 di peringkat diploma pada majlis berkenaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");