KUALA TERENGGANU – Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam, kerana melakukan pemerasan terhadap seorang remaja, 1 Jun lalu.
Keputusan dibuat selepas Muhammad Azrul Syamil Mohd Jamil, 20, mengaku salah melakukan pemerasan terhadap Nuzhul Iman Mohamad, 17, sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM80 kerana ketakutan.
Dia mengaku melakukan jenayah mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan itu terhadap mangsa, di tepi Jalan Kampung Banggol Air Lilih, di sini, kira-kira jam 7 pagi, pada 1 Jun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Adila Mat Zaidan di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.
Berdasarkan fakta kes, pada 1 Jun lalu, kira-kira jam 7 pagi, mangsa sedang menunggang motosikal bersendirian dari Gong Badak menuju ke rumahnya di Kampung Buluh Gading, di sini.
Bagaimanapun, semasa tiba di Kampung Banggol Air Lilih, di sini, secara tiba-tiba sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki tidak dikenali (Muhammad Azrul Syamil) menghimpitnya sebelum memaksanya berhenti di tepi jalan.
Lelaki berkenaan meminta wang RM30, kononnya sebagai ganti rugi kerana menuduh mangsa penyebab utama dia kemalangan sebelum ini.
Tidak cukup dengan itu, lelaki tersebut turut memaksa mangsa menyerahkan telefon bimbit miliknya dengan alasan ingin memasukkan sendiri nombor telefon peribadinya ke dalam telefon terbabit.
Sejurus itu, dia mengajak mangsa mengikutnya ke bengkel yang terletak di Kampung Pulau Duyong, di sini, kononnya untuk membaiki motosikalnya yang rosak akibat kemalangan terbabit.
Bagaimanapun, semasa tiba di Jambatan Sultan Mahmud, di sini, lelaki itu meminta wang RM50 lagi sebelum menyuruh mangsa menunggunya di hadapan Sekolah Kebangsaan Duyong, di sini.
Dalam masa sama, dia mengugut akan memukul mangsa sekiranya bertindak berani mengekorinya sebelum terus menghilangkan diri.
-Sinar Harian