Jenayah

Dipukul dua penyamun

KUALA TERENGGANU – Malang berganda! Seorang peniaga bukan sahaja terpaksa menanggung kerugian, malah turut cedera selepas kepalanya dipukul dengan pengunci stereng oleh dua penyamun bertopeng yang memecah masuk kedai fotokopi miliknya di Jalan Tok Kaya, di sini, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7.30 pagi ketika lelaki berusia 23 tahun itu sedang tidur di dalam kedainya sebelum dikejutkan dengan bunyi pintu dipecahkan.

Menurut sumber, mangsa kemudian ternampak dua lelaki memakai topeng dengan masing-masing bersenjatakan sebilah parang dan pengunci stereng.

“Kedua-dua suspek terus menghampiri mangsa sebelum mengarahkan mangsa menyerahkan barangan berharga yang ada sambil mengacukan parang ke arahnya.

“Tidak cukup dengan itu, mangsa kemudian diarahkan ke belakang kedai sebelum kepalanya dipukul menggunakan pengunci stereng sambil mengugut supaya tidak keluar dari kedai berkenaan.

“Bimbang terus dibelasah suspek, mangsa yang sedang terbaring berpura-pura pengsan dan kesempatan itu digunakan suspek untuk mengangkat barang-barang berharga yang ada di dalam kedainya ke dalam sebuah kereta Perodua Myvi yang diletakkan di hadapan kedai,” katanya.

Sumber berkata, semasa kedua-dua suspek sedang sibuk mengangkat barang-barang, mangsa memberanikan diri keluar dari kedainya sebelum menjerit sekuat hati meminta pertolongan daripada jiran terdekat.

“Suspek yang terkejut mendengar jeritan mangsa terus melarikan diri tanpa sempat mengambil barangan milik mangsa.

Mangsa yang mengalami kecederaan pada tangan dan kepala membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");