Membawang Hari Ini

Ewah! satukan semua kaum

Tidak ramai penyanyi berani menyanyikan lagu Tamil kerana sukar menguasai lenggok sebutannya.

Namun, berbeza pula Reena Nicky apabila nekad menghasilkan single Ewah! ciptaan Matilda Radge & Boy Radge dan lirik Matilda Radge.

Ternyata percubaannya menjadi apabila lagu rancak itu mendapat perhatian bukan sahaja kaum India, tetapi juga Melayu kerana liriknya dihasilkan dalam konsep dwi bahasa iaitu Tamil dan bahasa Malaysia.

Pemilik nama sebenar Nik Azlina Nik Dir ini berkata, dia ada sebab tersendiri menyanyikan lagu Tamil.

“Sejak menceburi bidang nyanyian, saya ter­ingin menyanyi lagu dalam pelbagai bahasa termasuk Tamil.

“Saya sukakan cabaran dan lenggok bahasa Tamil antara yang susah untuk dikuasai. Saya ambil masa selama tiga bulan untuk memahirkan sebutan.

“Lagu Ewah! berentak ‘catchy’ dan paling saya suka ialah liriknya yang menyatukan semua kaum. Ia sangat sesuai dengan negara kita yang ada masyarakat majmuk,” katanya.

Menurut Reena, pada mulanya dia gementar kerana bimbang sebutannya mencetuskan kontroversi dan tidak disukai pendengar India.

Namun, perasaannya lega apabila mereka memuji usahanya dan memberikan komen yang positif serta membina.

“Alhamdulillah lagu ini diterima baik dan berjaya masuk carta lagu popular antaranya di stesen radio Sabah. Pendengar kerap minta lagu ini dimainkan.

“Tak dinafikan pada awalnya saya bimbang lagu ini terperap begitu sahaja apabila dihantar ke radio. Syukur, Minnal FM dan THR Raaga memainkannya dan jadi ikutan stesen lain,” katanya.

Melihat sambutan baik itu, Reena merancang menghasilkan single Tamil kedua dan dalam proses rakaman.

“Tak sangka lagu ini berjaya menarik perhatian penerbit filem Jagat, Shanjey Kumar Perumal.

“Dia memperdengarkan lagu ini kepada seorang komposer dari India bernama Vishnu dan kini kami bekerjasama untuk single Tamil kedua saya.

“Kolaborasi ini membolehkan saya mencuba nasib di pasaran India dan ia cukup mengujakan.

“Lagu ciptaan Vishnu berkonsep moden dan perlahan dan saya kini dalam proses memahami lirik serta menghafal lagu,” katanya.

Dalam pada itu, Reena juga tidak melupakan peminat muzik Melayu apabila muncul dengan single terbaru berjudul Tiga Kali Disakiti.

“Lagu ini berkonsep pop moden dan ada elemen dangdut kerana mahu menembusi pasaran Indonesia.

“Komposernya pun dari Indonesia dan sangat dikenali di sana. Saya percaya lagu ini akan diterima ramai kerana melodinya menarik.

“Saya juga akan tampil dengan album kedua. Menariknya kali ini saya akan bekerjasama dengan beberapa nama popular seperti Man Kidal dan ramai lagi,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");