Berita Hari Ini

Harap TNB tunai janji: Ku Li

GUA MUSANG – Sebanyak 40 keluarga di daerah ini yang terjejas teruk dalam kejadian banjir besar lalu, dijangka boleh mendiami rumah baharu di Rumah Kekal Banjir Kampung Batu Papan 2 selewatnya sebelum Aidilfitri tahun ini.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, mengikut perancangan awal, rumah kekal itu boleh mula diduduki sebelum Ramadan.

Bagaimanapun katanya, kegagalan TNB menyambung bekalan elektrik menyebabkan tempoh itu dilanjutkan lagi sehingga kerja berkaitan siap sepenuhnya.

“Kita jangka rumah ini boleh mula diduduki awal bulan ini dan kelewatan yang berlaku amat dikesali. Bagaimanapun, mereka (TNB) telah beri jaminan segala proses penyambungan bekalan elektrik akan siap dalam masa sebulan, sebelum sambutan Aidilfitri.

“Saya harap mereka (TNB) dapat siapkan segala kerja berkaitan seperti yang dijanjikan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Banjir Kampung Batu Papan 2, di sini.

Turut hadir, Adun Galas, Aziz Yusoff; Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan, Fazam Mat Lazim dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha.

Menurutnya yang lebih mesra disapa Ku Li, sebanyak 60 keluarga yang lain pula akan dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Kita dapat peruntukan RM6 juta untuk bina 100 rumah mangsa banjir, yang hilang tempat tinggal dalam bencana dua tahun lalu. Bagaimanapun, pihak berkuasa hanya meluluskan 40 rumah di kawasan ini (Rumah Kekal Banjir Kampung Batu Papan 2) dan selebihnya kita pertimbangkan untuk pindah ke rumah PPR.

“Kita harap bantuan ini dapat memudahkan urusan mereka yang selama ini mendiami khemah dan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani,” katanya.

Sementara itu, penerima, Abdullah Ismail, 62, yang tinggal di pusat pemindahan PLKN berkata, pemberian rumah kekal itu amat menggembirakan mereka sekeluarga.

“Hampir dua tahun kami tinggal di pusat pemindahan dan akhirnya dapat juga rumah kekal. Saya amat bersyukur kerana dengan pemberian rumah ini, kehidupan kami sekeluarga akan lebih selesa.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa memberikan bantuan kepada golongan terjejas seperti kami,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");