Membawang Hari Ini

Hebat atau lebih teruk

Peminat dan pengkritik filem dunia nampaknya memulakan ‘perang’ dalam melontarkan komen mengenai filem Warcraft: The Beginning (Warcraft) yang diangkat daripada permainan video popular, World of Warcraft.

Di Malaysia, filem ini akan mula ditayangkan bermula 9 Jun ini, namun rata-rata pengkritik filem antarabangsa mula bercakap-cakap mengenai ‘kekurangan’ yang dilihat dalam filem epik ini.

Ada yang menganggap ini umpama sumpahan terhadap filem yang diadaptasi daripada permainan video.

Tidak kurang juga ramai yang melabelkan filem ini lebih teruk berbanding filem adaptasi permainan video lain seperti Lara Croft dan Doom.

Bagaimanapun, ramai juga yang memberikan kritikan positif dan apa yang penting ialah tayangan sulung filem ini di 20 negara antaranya Russia, Jerman, Perancis dan beberapa negara lain berjaya mencatat jumlah RM131.4 juta dalam tempoh lima hari pertama.

Filem ‘box-office’ ini berjaya mengatasi kutipan filem Alice Through the Looking Glass apabila mencatat sehingga RM8.73 juta daripada 73 pawagam IMAX.

Di Russia, Warcraft mencipta kejayaan dengan kutipan sebanyak RM41.6 juta dan menjadi filem kedua dengan kutipan tertinggi untuk tahun ini di sana selepas Deadpool.

Di Jerman dan Perancis pula, Warcraft mengaut kutipan masing-masing RM24.5 juta serta RM18.7 juta.

Filem arahan Duncan Jones ini juga menjadi antara empat filem dengan jumlah kutipan terbesar untuk pihak Universal di Sweden selepas berjaya mencatat RM5 juta.

Walaupun pelbagai komentar dilemparkan, Warcraft masih mengungguli carta filem di beberapa negara antaranya Austria, Denmark, Mesir, Hungary, Iceland, Indonesia, Latvia, Lubnan, Norway, Pakistan, Slovenia, Switzerland, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam tempoh satu hari, Warcraft dikatakan mengutip jumlah purata kutipan sebanyak RM29 juta. Dalam tempoh dua bulan, filem ini akan menerjah 45 negara.

Warcraft yang dibintangi Travis Fimmel, Paula Patton, Ben Foster, Dominic Cooper, Toby Kebbell, Ben Schnetzer, Robert Kazinsky dan Daniel Wu ini mengisahkan pertempuran antara manusia dan bangsa Orc, makhluk berwarna hijau bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia Azeroth.

Bagi Travis yang memegang watak sebagai Sir Anduin Lothar, dia sendiri mengakui pertarungan yang dipaparkan dalam filem ini nyata berbeza berbanding filem lain.

“Pertarungannya sangat berbeza dan anda akan dapat menyaksikan kesan khas yang sangat hebat dalam filem ini,” katanya dalam satu temu bual bersama media antarabangsa.

Kisahnya bermula apabila dunia yang dihuni bangsa Orc dikenali sebagai Draenor mula musnah sedikit demi sedikit.

Gul’dan selaku ketua bangsa raksasa itu mula mengumpul bala tentera untuk mencari lokasi tempat tinggal baru, Azeroth yang dihuni manusia.

Dari situ, tentera Orc mula memusnahkan tempat tinggal dan membunuh manusia tanpa belas kasihan.

Ketua panglima perang kerajaan Stormwind, Sir Anduin Lothar melihat ini sebagai satu perang yang bakal memusnahkan kelangsungan kehidupan manusia Azeroth dan mula bertindak untuk menghalang agenda jahat Gul’dan dan tenteranya.

Tidak bersendirian, dia turut menerima restu daripada Raja Stormwind, Llane Wrynn sendiri dan turut dibantu oleh Khadgar serta Medivh yang dianggap sebagai penjaga yang mempunyai kuasa sakti.

Pada awalnya, mereka mahu menyelesaikan masalah ini tanpa membabitkan pertempuran berdarah, namun semuanya tidak berjalan lancar apabila seorang pengikut setia Gul’dan bertindak di luar jangkaan.

Dari situ, bermulalah pertempuran antara mereka bagi mendapatkan tempat di Azeroth.

Bagi peminat setia permainan video ini, tentunya jalan ceritanya tidak terlalu asing.

Walaupun diadaptasi daripada permainan video, tentunya pengarahnya mahukan karya yang lebih dramatik bagi disesuaikan dengan jalan cerita filem bergenre epik.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");