Panasnya Hari Ini

Hentikan Maki Hamun Pihak Lawan Termasuk UMNO

KUALA LUMPUR : Para pemimpin PAS yang berceramah di pentas politik diminta agar mengubah perangai yang suka menggunakan perkataan kesat serta menghina pihak lawan termasuk UMNO.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata, budaya politik matang yang mahu dipraktikkan PAS perlu merangkumi pendekatan berhemah dalam semua aspek, bukan berpandukan emosi kebencian semata-mata.

“Pewaris terdekat Nabi Muhammad SAW ialah para alim ulama. Oleh sebab itu cara politik matang diamalkan oleh baginda Rasulullah perlu kita potretkan dulu dalam diri kita.

“Kita kena tunjukkan bagaimana berpolitik cara Islam dalam penampilan, gaya bercakap, tulisan dan semua perkara. Biarlah nampak macam orang berilmu.

“Janganlah guna perkataan kasar dan kesat. Atau maki sana maki sini, sedangkan serban pakai atas kepala,”katanya, memetik laporan Utusan Malaysia.

Dalam masa yang sama, beliau turut mendedahkan bahawa terdapat sesetengah pihak memberitahu beliau bahawa berceramah tanpa maki hamun UMNO sebagai tidak ‘kaw’ sedangkan tindak tanduk tersebut mencerminkan keperibadian akhlak seseorang.

“Adalah lebih baik kita tunjukkan keindahan Islam dan kebaikan PAS kepada masyarakat. Cerita tentang hala tuju atau gagasan PAS, apa yang kita boleh tawarkan kepada rakyat. Tak perlulah dalam ceramah itu, 40 hingga 50 peratus maki hamun orang.

“Bukan tidak boleh mendedahkan kemungkaran atau kebatilan pihak lawan, tetapi biarlah kita lakukan secara berfakta dan bukti.

“Dalam politik, ada akhlak untuk berdakwah. Kalaupun dia musuh, ada akhlak juga ketika berdepan dengan musuh,”ujarnya.

Berikutan itu, beliau turut meminta ahli PAS menghentikan amalan memprovokasi dengan cara memaki hamun penyokong lawan ketika penamaan calon dalam mana-mana pilihan raya.

“Ulama kena pimpin ahli kita supaya tidak terpekik-pekik, menjerit-jerit kepada penyokong lawan. Selalu saya tengok, ada yang cuba berselawat, tapi akhirnya selawat itu tenggelam dalam maki hamun. Ini bukan akhlak Islam,”tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");