Sukan Hari Ini

‘Hodgson ambil risiko besar’

London: Pengurus England Roy Hodgson lebih mementingkan soal reputasi berbanding prestasi apabila bertindak menggugurkan Danny Drinkwater, kata bekas penyerang Alan Shearer.

Shearer berkata, dengan memilih Jack Wilshere serta Jordan Henderson, Hodgson sebenarnya mengambil risiko besar kerana tahap kecergasan kedua-dua pemain itu tidak begitu baik.

“Drinkwater sepatutnya disenaraikan. Dia antara pemain yang paling menyerlah musim ini,” kata Shearer.

“Dia pasti kecewa dan berhak untuk merasa demikian kerana aksinya memang sangat mengagumkan.”

Drinkwater yang sudah menyarung jersi England tiga kali, dipilih pemain terbaik perlawanan ketika penampilan pertamanya yang menyaksikan England tewas 1-2 kepadas Belanda, Mac lalu.

Pemain tengah Arsenal Wilshere hanya beraksi 141 minit pada saingan Liga Perdana musim ini akibat patah kaki manakala bintang Liverpool Henderson pula terlepas aksi sepanjang enam minggu terakhir liga akibat kecederaan lutut.

Shearer yang pernah meledak 30 gol sepanjang 63 aksi bersama England antara 1992 dan 2000, berkata: “Sekali lagi, England lebih mementingkan reputasi berbanding prestasi.

“Saya harap pengurus tidak akan menyesal dengan tindakannya itu.”

Dalam satu sesi undian awam yang dijalankan BBC Sport bagi memilih kesebelasan utama England, 358,000 individu yang terbabit memilih Drinkwater.

Secara keseluruhan untuk posisi tengah, Drinkwater menduduki tangga kelima di belakang Dele Alli, Eric Dier, Wayne Rooney dan Raheem Sterling.

Drinkwater lebih popular berbanding Ross Barkley, James Milner, Adam Lallana dan Henderson serta Wilshere.

Mengenai pemilihan Marcus Rashford, Shearer berkata, pemain berusia 18 tahun itu sudah bersedia untuk berada di Perancis selepas menunjukkan persembahan mengagumkan sepanjang tiga bulan lalu.

“Bagaimanapun saya rasa dia belum sedia untuk turun sebagai pemain utama. Saya pasti terkejut jika dia disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan,” kata Shearer. “Dia boleh masuk sebagai pemain gantian dan kesannya pasti terasa jika ketika itu England sedang ketinggalan. Sebaik di padang, dia akan mengagumkan semua orang.”-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");