Membawang Hari Ini

Hubungi anak setiap hari

Biarpun tidak dapat berada di sisi anak sepanjang Ramadan ini, pelawak kelahiran Indonesia, Vicha akan menghubungi tiga cahaya matanya di Bandung setiap hari sebelum waktu bersahur dan berbuka puasa.

Sudah empat tahun Vicha atau nama sebenarnya Refika Novianti Faturohman hidup berjauhan dengan anak, Aurael Angelina Khezya, 7, Listya Arum Tresnasih, 6, dan Michelle Averina Calista, 4, demi membina karier di Malaysia.

Kali terakhir berjumpa keluarganya bulan lalu, Vicha berkata, Ramadan kali ini lebih meriah kerana anak bongsunya sudah belajar berpuasa penuh sebulan.

“Anak bongsu begitu semangat untuk berpuasa penuh walaupun masih kecil kerana mahu saya membeli tablet untuknya.

“Saya akan menghubungi ibu untuk mengejut­kan anak bersahur. Begitu juga sebelum berbuka puasa, saya akan menghubungi mereka untuk berta­nya khabar,” katanya.

Menurut pelakon filem Kipidap! Selamatkan Hari Jadi itu, niat membawa anak menetap bersama di Malaysia memang ada, namun belum sampai masanya lagi.

“Anak selalu bertanya kenapa saya begitu lama bekerja di perantauan. Namun apa daya, saya perlu mencari duit untuk menyara lapan anggota keluarga termasuk anak.

“Perasaan sedih terpaksa berjauhan dengan anak tetap ada terutama apabila seorang diri di rumah,” katanya yang juga ibu tunggal.

Sudah fasih berbahasa Melayu

Dalam pada itu, ang­gota kumpulan pelawak Saywho itu bersyukur diberi kepercayaan produksi Malaysia untuk berlakon dalam beberapa filem.

“Alhamdulillah, tawaran kerja sentiasa ada sepanjang berada di negara ini dan setakat ini belum berdepan masalah kewa­ngan. Selain berlakon, saya turut menerima jemputan untuk mengacara majlis,” katanya.

Bakal muncul dalam filem Sayu Yang Syukur, Vicha ingin berlakon dalam drama bersiri Melayu dan bukan hanya di layar perak saja.

“Ramai beranggapan saya terikat dengan produksi Astro kerana dilahirkan daripada program Maharaja Lawak Mega (MLM). Saya berharap ada produksi sudi memberi peluang itu untuk muncul di kaca TV. Selain komedi, saya juga ingin mencuba watak lain,” katanya.

Tambahnya lagi, sejak menyertai MLM pada 2011, penguasaan bahasa Melayu bertambah baik dan tiada masalah membawa watak yang memerlukannya bertutur dalam bahasa berkenaan.

“Setiap hari saya dikelilingi rakan yang bercakap Melayu jadi sudah fasih berkomunikasi dalam bahasa itu,” katanya.

Tidak hanya bergantung dengan lakonan saja, Vicha turut berusaha mencari pendapatan sampingan dengan menjual pakaian dan produk kecantikan kepada rakan.

“Apabila pulang ke Bandung, saya akan membeli stok barangan berkenaan dari sana untuk dijual kepada rakan di Malaysia.

“Perniagaan itu secara kecil-kecilan saja kerana wang hasil lakonan memang tidak cukup untuk perbelanjaan keluarga,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");