KUALA KANGSAR : Lebih dari 2,000 penduduk di kawasan sekitar Manong bakal menerima manfaat daripada pembinaan jambatan Manong.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, segala permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat dapat diatasi apabila jambatan yang menelan belanja RM43.5 juta itu siap.
“Apabila jambatan ini siap kelak, mereka yang ada tanah, rumah kebun dan sebagainya di seberang akan mendapat kemudahan ini termasuklah anak-anak sekolah yang selama ini terpaksa mengambil perjalanan jauh untuk ke sekolah.
“Ia dengan sendirinya akan menyelesaikan masalah tersebut,”ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan BN Youth Job & Career Fair 2016 di Dataran Pavillion, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Haron.
Ujarnya lagi, projek pembinaan jambatan tersebut akan dimulakan secepat mungkin.
“Semalam, Perdana Menteri sudah mengarahkan Kementerian Kerja Raya dan saya sendiri telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak sebulan lalu untuk melihat daripada segi ruang dan peluang bagaimana untuk kita mulakan,”ujarnya.
Terdahulu, pada kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke sini telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM43.5 juta bagi membina jambatan tersebut.
Selain itu, Najib juga turut mengumumkan penaiktarafan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) sebagai universiti penuh dan dikenali sebagai Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) berkuatkuasa serta-merta.
Dalam pengumuman tersebut juga, Najib berkata, USAS turut akan mendapat geran tahunan daripada kerajaan persekutuan setiap tahun.
Zambry berkata, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri itu adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan rakyat negeri Perak, khususnya bagi penduduk Kuala Kangsar.
“Inilah sesuatu yang dinanti-nantikan dan ianya merupakan manifesto BN Perak terhadap rakyat negeri ini bagi menjadikan kolej ini menjadi sebuah universiti.
“Pengumuman semalam memberikan kekuatan kepada usaha kita dalam menjadikan Kuala Kangsar sebagai pusat kecemerlangan ilmu,”ujarnya.