Berita Hari Ini

Jawatankuasa Teknikal Penurunan Kuasa Sudah Dibentuk

KUCHING: Mesyuarat peringkat tinggi pertama mengenai penurunan kuasa pada 13 Jun lepas bersetuju mengenai pembentukan sebuah jawatankuasa teknikal mengenai urusan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata jawatankuasa itu akan mengandnungi wakil yang dicalonkan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah bersama-sama wakil kerajaan persekutuan dan sejarawan dari dua negeri tersebut.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Nancy dan Menteri Persekutuan dari Sabah, Datuk Seri Anifah Aman. Ia dihadiri Peguam Negara (Tan Sri Mohamed Apandi Ali); wakil kerajaan persekutuan; wakil kerajaan Sabah iaitu setiausaha kerajaan negeri dan peguam besar negeri; dan wakil kerajaan Sarawak iaitu timbalan peguam besar negeri dan pengarah Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri.

Nancy berkata mesyuarat itu juga bersetuju bahawa jawatankuasa teknikal berkenaan akan mengenal pasti isu kegagalan pematuhan dalam konteks Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia1963, Perlembagaan Persekutuan dan laporan bertulis atau dokumen lain seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, dan akan menyediakan syor serta penyelesaian untuk pertimbangan kerajaan persekutuan.

“Diharapkan, laporan pertama berdasarkan syor dan penyelesaian itu akan siap untuk dikemukakan kepada Kabinet persekutuan menjelang akhir tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Kini tibalah masanya untuk kami mengemukakan hasrat rakyat Sarawak. Ia bukan lagi sekadar cakap semata-mata, tetapi untuk menunaikan apa yang disuarakan ketua menteri kami,” katanya.

Pada 16 Mac 2014, tidak sampai dua minggu selepas Tan Sri Adenan Satem dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak, beliau berkata hubungan negeri ini dengan kerajaan persekutuan perlu mematuhi perlembagaan.

Bercakap tentang perkara sama, pada 1 Jan tahun ini, Nancy menyambut baikusul yang dibentangkan kerajaan BN Sarawak semasa persidangan Dewan Undangan Negeri pada 8 Dis 2015 bagi mendapatkan mandat daripada kerajaan negeri untuk memelihara hak dari segi perlembagaan dan melindungi negeri ini demi kepentingan semua rakyat Sarawak.

Beliau berkata usul itu adalah antara langkah penting yang diperkenalkan dibawah kepimpinan Adenan yang berwibawa kerana ia tepat dengan masanya serta mewakili hasrat rakyat Sarawak sejak zaman sebelum penubuhan Malaysia lagi,seperti yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan dan Perjanjian Malaysia 1963.

Kesungguhan Adenan dalam memperjuangkan perkara itu untuk seluruh rakyat Sarawak bukan merupakan cakap semata-mata kerana pada 21 Jan tahun ini, beliau mengumumkan 13 perkara mengenai penurunan kuasa kepada kerajaan negeri, yang dipersetujui pada pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Nancy berkata 13 perkara itu sedang dipenuhi Putrajaya.

“Perdana menteri dan kerajaan persekutuan sama-sama prihatin dan responsif terhadap permintaan kerajaan Sarawak dan disokong oleh hakikat bahawa pemimpin tertinggi kedua-dua negeri mempunyai hubungan yang sangat baik dengan perdanamenteri serta pemimpin persekutuan lain,” katanya.

Beliau berkata perdana menteri dan kerajaan persekutuan juga mengakui tentang kepentingan peristiwa bersejarah yang mempunyai kesan terhadap negara itu setelah termeterainya Perjanjian Malaysia 1963.

Ia membawa kepada pelantikan Nancy dan Anifah oleh Kabinet persekutuan untuk meneruskan fasa kedua penurunan kuasa berkaitan hak kedua-dua negeri ituberlandaskan Perlembagaan Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963, bersama-sama Jabatan Peguam Negara.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");