Sukan Hari Ini

JDT asah taring

JUARA Piala AFC 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali turun ke padang bagi memulakan sesi latihan pasukan di Padang Seri Gelam, di sini, 19 Jun lalu.

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama isterinya, Che Puan Khaleeda turut berkesempatan meluangkan masa menyaksikan sesi latihan Juara Liga Super 2014/2015 ini dari JDT Cafe.

Sesi latihan tersebut yang merupakan sesi latihan hari pertama pemain Harimau Selatan kecuali mereka yang terpilih menyarung jersi pasukan kebangsaan, setelah bercuti pertengahan musim.

Menurut Ketua Jurulatih JDT, Mario Gomez, maklum balas positif dari segi mental dan fizikal telah ditunjukkan oleh pemainnya yang kembali berlatih.

“Pemain melakukan rutin latihan seperti biasa meskipun terdapat beberapa pemain yang masih lagi bersama skuad kebangsaan pada ketika ini,” katanya seperti dipetik dari laman Facebook JOHOR Southern Tigers di sini.

Pengendali dari Argentina itu berkata, sesi latihan diadakan pada sebelah malam bagi membolehkan para pemain menumpukan perhatian sepenuhnya pada latihan kerana pada siangnya mereka menjalani ibadah berpuasa.

Selain itu, katanya, kehadiran TMJ menyaksikan sesi latihan berkenaan juga menunjukkan betapa pihak pengurusan tertinggi turut memandang serius mengenai perkembangan pemain.

Teruja

Sementara itu, rata-rata pemain JDT mengakui begitu bersemangat untuk kembali semula berlatih bagi berdepan perlawanan akan datang.

“Pemain turun dengan komitmen tinggi dan penuh bersemangat,” kata kapten JDT, Safiq Rahim.

Nada positif turut dikongsi oleh pemain kelahiran Singapura, Hariss Harun yang mengakui kesemua pemain berada dalam keadaan baik pada hari pertama latihan.

Manakala, Jasazrin Jamaluddin pula melihat skuad Harimau Selatan perlu bekerja keras untuk kekal cergas meskipun berpuasa berikutan perlawanan akan datang hanya tinggal kurang daripada sebulan sahaja.

Malah Farizal Marlias turut memaklumkan bahawa kesemua pemain JDT telah diberikan tips pemakanan yang betul untuk kekal cergas di bulan puasa dan menjalani latihan di sebelah malam.

Sesi latihan kali ini adalah persediaan mengharungi jadual yang padat pada bulan Julai nanti, dalam usaha meneruskan rentak kemenangan sebelum ini.

Suam-suam kuku

Dalam perkembangan lain, tiada gosip hangat dari kem JDT kecuali isu melibatkan pemain Selangor, Azrif Nasrulhaq dan pemain PKNS FC, Gabriel Guerra yang hangat dikaitkan dengan skuad Harimau Selatan.

Perkara melibat kedua-dua pemain ini sudah diulas oleh Tunku Ismail dengan penegasan bahawa kelab bola sepak bukan sebuah penjara.

Tunku Ismail berkata, pemain sepatutnya bebas untuk berpindah dan pergi ke mana sahaja yang mereka mahu termasuk pemain JDT sendiri kerana pintu sentiasa terbuka untuk pemain.

“Ini adalah mengapa saya tidak nampak sesiapa sebagai pesaing saya. Ia kerana kami tidak mempunyai impian yang sama, matlamat yang sama, cita-cita atau pemikiran yang sama. Kami berbeza.

“Jika anda mahu bersaing dengan Johor, wujudkan persekitaran di mana pemain tidak mahu meninggalkan kelab,” katanya.

Hadin kembali?

SELAIN itu, dijangkakan pemain sayap Felda United, Hadin Azman akan kembali menyarung jersi JDT selepas disingkirkan daripada skuad Harimau Selatan, dua tahun lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengesahan daripada Kelab Bola Sepak JDT mahupun Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berhubung khabar angin melibatkan kepulangan semula Hadin Azman.

Apa yang jelas, Tunku Ismail yang juga Pemilik Kelab Bola Sepak JDT pasti akan terus ‘merembat’ pemain tempatan yang menunjukkan aksi konsisten sepanjang musim berlangsung.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");