Berita Hari Ini

Kaji hukum berkaitan vaksin

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah mengambil inisiatif untuk membuat kajian dari aspek hukum penggunaan vaksin yang diberikan oleh kerajaan susulan Kedah merekodkan kes penolakan tertinggi vaksin yang dikaitkan dengan status halal.

Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana berdasarkan kajian yang dibuat pihak tertentu, punca penolakan adalah kerana kebimbangan dan keraguan umat Islam untuk menggunakan vaksin tersebut.

“Saya akan bincang isu ini dengan Jabatan Mufti untuk merungkai persoalan antaranya hukum penggunaan vaksin kepada penyakit yang membahayakan nyawa, termasuk sumber vaksin itu sendiri supaya umat Islam di Kedah tidak keliru atau tolak perkara kebaikan,” katanya, ketika ditemui di program Ramadan bersama Athar Rasulullah, kelmarin.

Menurutnya, pihaknya akan umumkan pendirian Kedah dalam masa terdekat, kerana isu ini penting di mana perkara yang dialu-alukan itu masih menimbulkan keraguan masyarakat.

“Ternyata penggunaan vaksin masih diragui status halalnya oleh orang ramai.

Kita akan lakukan siasatan sejauh mana keraguan itu supaya kerisauan atau syak wasangka kalangan umat Islam dapat dihapuskan,” katanya.

Mohd Rawi berkata, pihaknya tidak mahu umat Islam terus dibelenggu keragunasionalan atau cepat melatah sehingga ada yang menolak pemodenan perubatan tanpa fakta yang tepat.

“Jika kita tolak membuta tuli, pada masa sama penyakit menular kalangan umat Islam, kelak kita yang terima kesannya,” katanya.

Bagaimana pun, katanya, buat masa ini semua pihak disaran merujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung imunisasi, di mana muzakarah bersetuju bahawa vaksin untuk imunisasi tidak najis.

“Ia juga tiada unsur meragukan dalam kandungannya dan hukumnya adalah harus digunakan dari aspek syarak, berdasarkan kaedah menolak kerosakan didahulukan daripada mencari kemaslahatan dalam perundangan Islam,”katanya.

Mohd Rawi berkata, seeloknya kita mengenal pasti sumber yang digunakan untuk pembuatan vaksin agar dapat menghapuskan keraguan.

“Ada rasionalnya segelintir ragu, kerana kita tiada petunjuk langsung apakah sumber yang digunakan, apakah dari haiwan yang halal atau haram, disembelih atau tidak, sehingga membuatkan umat Islam menolak,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");