Membawang Hari Ini

Kerjaya seni, lumba kereta seiring

Tarikh 25 Mei lalu melakar satu lagi sejarah dalam karier pelakon, pelawak dan pengacara popular, Zizan Razak apabila diumumkan pelumba selebriti rasmi pasukan Mayhem Motorsports dengan kerjasama Prince Lubricants.

Selain Zizan, seorang lagi selebriti yang terpilih ialah pelakon Faye Kusairi.

Dua selebriti ini akan berlumba sempena Malaysian Speed Festival 2016 anjuran Ignition.my di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mulai bulan ini hingga November depan.

Zizan, 32, sudah lama menyimpan impian bergelar pelumba kereta profesional. Bersandarkan bakat dan minat yang mendalam dalam dunia sukan permotoran, anak jati Terengganu ini yakin impiannya itu berjaya direalisasikan dengan bimbingan jurulatih profesional.

Selain berkongsi impian menjadi pelumba kereta yang berjaya, Zizan turut berkongsi perkembangan karier seni termasuk mengulas dakwaan dirinya yang dianggap sudah tidak relevan dalam bidang hiburan tanah air.

Ikuti temu bual wartawan RAP, Ramlah Zainal ([email protected]) bersama Zizan.

RAP: Ada dakwaan mengatakan populariti anda sudah merudum ketika ini?

ZIZAN: Saya tidak pernah melihat populariti sebagai fokus utama dalam karier sebagai selebriti. Populariti datang dan pergi malah tidak kekal dengan kehadiran ramai bakat baru.

Sebaliknya, saya percaya apa yang dikecapi hari ini adalah rezeki daripada Allah SWT. Apa yang penting, keikhlasan dan kemampuan saya untuk terus berkarya dan menghiburkan

peminat.

RAP: Nama anda turut dihimpit pelbagai kontroversi sejak kebelakangan ini hingga ada pihak yang mendakwa anda seolah-olah sudah tidak relevan dalam bidang seni tanah air?

ZIZAN: Sebagai selebriti, saya memang tidak boleh mengawal kontroversi yang melanda kerana ia asam garam dalam bidang seni. Apa-apa pun, saya juga tidak mahu melihat perkara itu terlalu serius. Saya percaya, apa pun yang berlaku, keluarga lebih kenal siapa diri ini dan sentiasa menyokong dari belakang.

RAP: Selepas bergelar pelumba kereta, mungkinkan anda akan meninggalkan bidang hiburan tanah air?

ZIZAN: Saya tidak akan meninggalkan bidang seni kerana ia periuk nasi sejak dulu. Bergelar pelumba kereta impian sejak kecil dan saya bukannya tamak merebut peluang yang datang sebaliknya ia rezeki. Saya juga ingin memastikan kerjaya dalam bidang seni dan perlumbaan kereta juga bergerak seiringan.

RAP: Sukan permotoran juga berbahaya dan berisiko tinggi. Komen anda?

ZIZAN: Saya sedar kerjaya pelumba kereta memang berbahaya dan berisiko tinggi. Justeru, saya juga serius untuk mengikuti segala kemahiran yang sudah ditetapkan dalam sukan permotoran ini. Selain memiliki lesen, saya juga perlu mengetahui segala kelengkapan yang diperlukan pelumba kereta.

Saya juga banyak mendapat bimbingan ketua pasukan Mayhem Motorsports yang juga pelumba kereta terkenal, Keifli Othman serta jurulatih pasukan.

RAP: Sebagai selebriti dan idola kepada golongan muda, adakah anda berharap lebih ramai golongan muda menyertai sukan permotoran ini pada masa depan?

ZIZAN: Saya sangat berharap pemilihan saya dan Faye Kusairi akan menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk membabitkan diri dalam sukan ini. Sukan permotoran ini aktiviti sihat untuk diceburi golongan muda daripada terjebak dengan gejala sosial yang tidak baik.

RAP: Adakah anda sudah bersedia untuk perlumbaan di SIC nanti?

ZIZAN: Saya sudah bersedia untuk menghadapi perlumbaan pertama pada awal bulan ini dengan bimbingan Keifli. Sempena perlumbaan itu, saya akan memandu kereta Honda Integra DC5 dalam acara Race Car Open yang juga kategori terbuka. Saya juga akan berlumba dengan kereta berkuasa kuda tinggi dan turbo. Sasaran saya adalah untuk menghabiskan perlumbaan dan bonus jika mampu menduduki senarai 10 terbaik.

RAP: Boleh ceritakan mengenai pembabitan awal anda dalam sukan lumba kereta ini?

ZIZAN: Saya sudah lama mahu menjadi pelumba kereta profesional tetapi terpaksa menangguhkan hasrat itu kerana kekangan waktu dan fokus kepada karier seni terlebih dulu.

Namun, saya nekad menceburi sukan ini dan mendapat persetujuan daripada pihak pengurusan tahun lalu. Kini, ia bukan sekadar hobi, sebaliknya saya serius untuk bergelar pelumba kereta profesional serta giat mempelajari semua teknik pemanduan di litar dengan bimbingan jurulatih profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 10:43 AM

ZIZAN harap pemilihannya dan Faye sebagai pelumba selebriti Mayhem Motorsports beri inspirasi kepada golongan muda.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");