Jenayah

Lelaki ditahan miliki mercun

KEMAMAN: Tragedi letupan mercun yang berlaku kebelakangan ini hingga mendatangkan kecederaan parah langsung tidak dijadikan iktibar dan tidak diendahkan oleh seorang operator mesin apabila masih berdegil menjual mercun.

Suspek berusia 30 tahun bagaimanapun terkantoi apabila 79 bungkus pelbagai jenis mercun miliknya dianggarkan bernilai RM7,000 berjaya dirampas selepas polis menahannya di hadapan sebuah bengkel menyimpan besi tempatnya bekerja di Jalan Jakar, Chukai, di sini, kira-kira jam 11 malam, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola bersaiz kecil dirampas daripada suspek ketika pihak polis menangkap lelaki itu yang dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil soal siasat di lokasi tangkapan, suspek yang masih bujang membawa pihak polis masuk ke dalam bengkel tempatnya bekerja sebelum polis menemui sebanyak 79 bungkus mercun dari lapan jenis mercun.

“Mercun yang paling banyak sekali adalah mercun bola bersaiz besar iaitu 27 bungkus. Mercun-mercun lain yang turut kita rampas adalah enam bungkus mercun bola bersaiz kecil, 11 bungkus mercun ketupat, empat kotak mercun small festival ball, 18 kotak mercun happy boom dan satu unit mercun five works king 228 shots.

“Hasil soal siasat suspek yang berasal dari daerah ini mengaku menjual mercun itu kepada kenalan-kenalannya dan mengambil bekalan itu dari seorang individu di Besut tapi stok asalnya datang dari Thailand,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, semalam.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek yang tinggal di dalam bengkel itu keseorangan tidak memiliki sebarang jenayah dan ujian saringan air kencing juga mendapati lelaki itu negatif dadah.

Menurut beliau, suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sementara itu, Mohd Said berkata, jumlah keseluruhan rampasan dan tangkapan atas kesalahan memiliki dan bermain mercun di daerah ini sehingga semalam adalah lima kes yang mana dalam empat kes lagi ia melibatkan rampasan kira-kira RM800.

“Pada hari kita merampas mercun bernilai RM7,000 kita turut tahan seorang lelaki berumur 29 tahun yang sedang bermain mercun di hadapan IPD Kemaman kira-kira jam 10 malam.

“Kita turut rampas dari suspek empat biji mercun jenama merdeka, sebatang mercun yang berbentuk paip bertulis artillesyshell, satu pemetik api dan 19 kotak kecil mercun pop,” katanya.

Katanya, tiga lagi lelaki berusia antara 24 hingga 43 tahun pula masing-masing ditangkap di bazar Ramadan dan pasar malam di sekitar Chukai, Geliga dan Kijal kerana menjual mercun walaupun sudah diberikan amaran.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");