KOTA BHARU – Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman yang dihuni selama 20 tahun, hangus sekali gus dalam kebakaran di Kampung Belukar Panji, di sini semalam.
Mangsa, Bilal Mohamad, 56, berkata, rumahnya itu ditinggalkan kosong selepas dia keluar bekerja tidak jauh dari kediaman itu.
“Saya serta tiga anak dan isteri yang menjaga ibunya di hospital, meninggalkan rumah kira-kira jam 9 pagi dalam keadaan berkunci , namun terkejut menerima panggilan kira-kira jam 11 pagi daripada jiran memberitahu rumah saya terbakar.
“Apabila pulang ke rumah, saya lihat hampir keseluruhan rumah hangus terbakar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya semalam.
Bilai berkata, hanya kereta jenis Proton Saga dan motosikal anaknya yang dapat diselamatkan oleh jiran memandangkan api marak begitu cepat.
“Memang agak sedih memandangkan baru sahaja empat hari kita berpuasa dan kejadian ini berlaku pada bulan Ramadan,” katanya.
Bilal berkata, dia mengharapkan agar pihak tertentu dapat memberi bantuan khususnya kediaman baharu memandangkan dia tidak mempunyai tempat tinggal lain.
“Setakat ini saya tidak tahu punca kebakaran datang dari mana, memandangkan isteri tidak memasak untuk sahur dan berbuka” katanya.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12.05 tengah hari dan tiba di lokasi hampir 15 minit kemudian.
“Ketika kami tiba hampir 95 peratus kediaman itu terbakar dan pihak kami mengalami kesukaran untuk memadamkan kebakaran kerana pili bomba agak jauh dan sumber air terbuka tiada di kawasan itu.
“Namun api dapat dikawal dengan kekuatan tiga jentera termasuk, jentera Balai Kota Bharu, Unit Paramedik dan Tangki Air (Water Tangker) bersama 14 anggota kita berjaya mengawal api dari merebak ke kediaman berhampiran.
Zaini berkata, setakat ini, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung punca dan kerugian yang dialami mangsa dalam kejadian itu.
-Sinar Harian