Jenayah

Maklumat bocor?

Kuala Lumpur: Adakah ada ‘orang dalam’ membocorkan maklumat operasi? Persoalan itu timbul susulan tindakan segelintir sindiket judi siber cuba memindahkan semua peralatan judi beberapa minit sebelum serbuan dilakukan.

Ahli sindiket judi yang beroperasi di Jalan Mengkudu, Ampang, di sini, didapati kelam-kabut memunggahkan peralatan mesin judi ke dalam lori khas jam 1 pagi semalam.

Cubaan mereka melarikan peralatan mesin judi itu bagaimanapun gagal apabila pihak berkuasa muncul dan merampas semua peralatan.

Dalam operasi ‘Ops Banteras Aktiviti Haram 25’ itu, sebanyak empat premis diserbu pihak berkuasa termasuk premis judi berkenaan.

Operasi bersepadu diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan turut disertai 295 pegawai dan anggota dari 11 agensi kerajaan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta 10 badan bukan kerajaan (NGO).

Adnan berkata, salah satu dari premis judi diserbu itu didapati cuba memindahkan semua peralatan seperti komputer dan mesin slot.

“Semua komputer dan mesin slot itu sudah disusun di ruang utama premis dan mahu dimasukkan di dalam dua lori bagi mengelakkan dirampas pihak berkuasa.

“Difahamkan intipan dilakukan mendapati pusat judi terbabit sudah beroperasi sejak enam bulan dan terdapat 300 kaki judi memasuki di premis berkenaan setiap hari. Namun ketika serbuan, semua pelanggan sempat melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa merampas lapan mesin slot, 39 monitor bersama 35 unit pemprosesan pusat (CPU).

Adnan berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah pusat snuker di lokasi sama dan menyita 38 set komputer selepas mendapati premis itu menjalankan aktiviti perjudian.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");