KUALA KRAI – Curiga beberapa hari tidak melihat seorang OKU yang tinggal bersendirian, membawa kepada penemuan mayat lelaki itu yang hampir reput di rumahnya di Temalir, petang kelmarin.
Mangsa, Sayid Daud Sayid Kuning, 59, ditemui Penghulu, Zakaria Idris dan beberapa penduduk di bilik tidurnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, mangsa dipercayai tinggal bersendirian di rumah peninggalan orang tuanya.
Menurutnya, polis menerima panggilan daripada Zakaria yang memaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa.
“Mangsa yang tidak pernah berkahwin, tinggal sendirian di rumah tanpa nombor yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan air. Si mati merupakan anak keempat daripada enam beradik dan tidak mempunyai saudara terdekat yang tinggal di kampung berkenaan,” katanya.
Abdullah berkata, semasa hayatnya, mangsa yang juga pemegang kad OKU, bekerja sebagai penoreh getah milik arwah orang tuanya.
Menurutnya lagi, kali terakhir mangsa dilihat menunaikan solat tarawih pada hari pertama puasa di Masjid Temalir.
“Mangsa mempunyai penyakit darah tinggi dan kurang siuman. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Zakaria berkata, beliau curiga setelah beberapa hari tidak melihat mangsa, sedangkan ketika melalui kawasan rumah mangsa, dia melihat ada motosikal di kawasan rumah berkenaan.
“Saya kemudian mengajak beberapa penduduk masuk ke rumah berkenaan dan menemui mayat mangsa di dalam bilik tidur,” katanya.
-Sinar Harian