JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan dalam keadaan stabil.
Menteri Besar, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau telah melawat baginda pada Jumaat lepas di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
“Saya telahpun melawat baginda pada Jumaat lalu selepas mendapat maklum keadaannya.
“Baginda berada dalam keadaan stabil. Mungkin disebabkan faktor cuaca menyebabkan keadaaan kesihatannya terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke Kampung Kuala Masai, di sini, pagi tadi.
Justeru, Mohamed Khaled meminta orang ramai supaya tidak khuatir dan mendoakan baginda supaya kembali sihat.
“Tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan. Diharap baginda dapat berehat secukupnya dan cepat sihat seperti sediakala,” katanya.
Terdahulu, Sultan Ibrahim dilaporkan dimasukkan ke HSA, di sini, atas nasihat doktor dan kini bersemayam di wad DiRaja.
Baginda sedang menerima rawatan bagi penyakit berpunca daripada jangkitan virus dan gastritis.
Baginda dijangka akan dibenarkan pulang dalam masa terdekat.
-Sinar Harian