Panasnya Hari Ini

Mukhriz Boleh Jadi MB Semula Jika Sertai PAS – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir boleh menjadi Menteri Besar Kedah semula sekiranya menyertai PAS.

Pelawaan itu dibuat oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berikutan dakwaan Mukhriz bahawa terdapat usaha memberi jalan kepada PAS menubuhkan kerajaan Kedah pada pilihan raya umum akan datang.

“Beliau kena masuk PAS, baru boleh jadi Menteri Besar semula. Barulah hatinya boleh puas.

“Hal ini kerana beliau akhirnya dapat menumpaskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah yang memberontak terhadapnya sehingga beliau kehilangan jawatan sebagai Menteri Besar,”ujarnya, lapor Free Malaysia Today.

Terdahulu, Mukhriz meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuatkuasa 3 Februari lalu dan Ahmad Bashah dilantik menjadi penggantinya.

Jumaat lalu, Mukhriz dan bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat keahliannya daripada UMNO selepas lantang mengkritik kerajaan bersama dengan pembangkang.

Mukhriz dalam sidang medianya bersama Muhyiddin semalam mengesyaki bahawa terdapat perjanjian antara UMNO dan PAS membabitkan ‘pertukaran’ yang melibatkan Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dalam masa yang sama, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa parti Islam itu akan terus berusaha merampas semula Kedah daripada UMNO.

“PAS tetap akan bertanding melawan UMNO di Kedah. Penentu kemenangan ialah rakyat dan bukannya mana-mana parti politik,”jelasnya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan Mukhriz mengenai sokongan Dewan Undangan Negeri dari pembangkang ketika mengadakan pertemuan dengan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah dahulu.

“Harap-harap Mukhriz ingat semula siapa yang sokong dia dan siapa yang tidak sokong dia ketika istana minta berjumpa dengan semua ADUN dari pembangkang dan BN,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");