Jenayah

Padah gagal kawal perasaan

KUALA TERENGGANU – Hanya kerana perselisihan faham kecil, seorang lelaki gagal mengawal perasaan marah dengan menggunakan kekerasan jenayah terhadap abangnya, dalam satu kejadian di Kampung Tok Dir, Pengadang Buluh, di sini, pada 24 Jun lalu.

Sebagai pembalasan perbuatan itu, Mohd Zamri Mohd Ghani, 36, dijatuhi hukuman penjara seminggu dan dikenakan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Selain itu, Mohd Zamri turut berdepan hukuman penjara tambahan seminggu lagi sekiranya gagal menjelaskan denda.

Keputusan dibuat selepas dia mengaku salah sengaja menggunakan kekerasan jenayah terhadap abangnya, Mohd Asmadi Mohd Ghani, 38, di Kampung Tok Dir, Pengadang Buluh, di sini, kira-kira jam 7.30 malam, pada 24 Jun lalu.

Dengan itu, Mohd Zamri mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau dengan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Berdasarkan fakta kes, pada 24 Jun lalu, kira-kira jam 7.30 malam, semasa mangsa yang ketika itu sedang berbuka puasa di rumahnya di Kampung Tok Dir, Pengadang Buluh, di sini, dikejutkan dengan kehadiran adiknya (Mohd Zamri) dalam keadaan marah-marah sambil membawa sebatang kayu.

Mohd Zamri memaksa mangsa keluar dari rumah tetapi lelaki itu hanya berdiam diri sahaja di dalam rumah kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, sejurus melihat adiknya itu mahu memukul cermin kereta yang diletakkan berhampiran rumah, mangsa terpaksa keluar dari rumah lalu memujuk adiknya agar bertenang dan berbincang dengan cara elok.

Namun, Mohd Zamri masih tidak berpuas hati sebelum bertindak mengeluarkan sebilah pisau berniat mahu mencederakan mangsa tetapi dia bernasib baik kerana tindakan itu berjaya dihalang isterinya.

Dalam situasi kelam kabut itu juga, ayah kedua beradik terbabit sampai di lokasi dan bertindak mengambil pisau di tangan Mohd Zamri sebelum beredar dari lokasi.

Bimbang perkara tidak diingini berlaku pada masa akan datang serta risau akan keselamatan diri dan ahli keluarga lain, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis meskipun insiden terbabit melibatkan adik kandungnya sendiri.

Susulan laporan diterima, Mohd Zamri ditangkap di rumahnya dua hari selepas kejadian, kira-kira jam 4.10 pagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");