Berita Hari Ini

Pekebun getah digesa segera daftar, dapat bantuan khas

PADANG BESAR – Pekebun kecil getah termasuk pemilik kebun dan penoreh getah dinasihat segera mendaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), bagi membolehkan mereka mendapat Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah.

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, sejak pengumuman bantuan berkenaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Jun lalu, hanya 135,644 pekebun kecil di negara ini yang mendaftar daripada keseluruhan 388,111 pekebun.

“Penoreh getah dan mereka yang memiliki kebun getah tidak melebihi 2.5 hektar serta belum mendaftar boleh berbuat demikian segera di mana-mana pejabat

Risda negeri atau daerah sebelum 31 Ogos depan untuk manfaat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra Bersama Pengerusi Risda di Dewan Seri Melati di sini hari ini, turut hadir ialah Pengarah Risda negeri, Ramlie Tumin.

Pada majlis itu, Zahidi turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM120,000 sempena Aidilfitri kepada 1,300 penerima daripada kumpulan asnaf, penoreh getah, mangsa ribut dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parlimen Padang Besar.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Padang Besar berkata, pendaftaran segera amat perlu bagi membolehkan setiap nama berdaftar diproses sementara bayaran akan dibuat secara berperingkat-peringkat.

Di Perlis, sebanyak 409 pekebun kecil dan penoreh getah telah menerima bantuan masing-masing daripada keseluruhan 4,115 orang yang telah mendaftar.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");