Jenayah

Pelacuran di sebalik perniagaan salun terbongkar

BANDA HILIR – Seorang wanita dipercayai ‘ibu ayam’ yang menjalankan kegiatan pelacuran hampir 10 tahun akhirnya ditahan polis ketika serbuan di sebuah salun di Taman Melaka Raya, di sini, kelmarin.

Difahamkan, wanita berusia 49 tahun itu memperoleh pendapatan sampingan melalui aktiviti pelacuran selepas menawarkan perkhidmatan tambahan kepada pelanggan lelaki yang datang ke premisnya untuk mencuci dan memotong rambut.

Bagaimanapun, kegiatan pelacuran di sebalik perniagaan salun itu akhirnya terbongkar dalam Ops Pintas yang dijalankan hampir lima jam bermula 5 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, operasi disertai 10 anggota dan pegawai dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) itu juga berjaya menyelamatkan tujuh wanita dipercayai mangsa pelacuran.

“Mereka terdiri daripada seorang wanita tempatan, dua dari Indonesia, termasuk seorang anak lelaki berusia 6 tahun dan empat lagi wanita dari Vietnam berusia 29 hingga 47 tahun berjaya diselamatkan dalam operasi itu.

“Ketika serbuan, mereka berada di dalam bilik serta di ruang tamu yang terdapat pada tingkat dua dan tiga bangunan rumah kedai berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, ketika serbuan itu juga, terdapat seorang mangsa lacur dari Vietnam berada di dalam bilik bersama seorang lelaki yang hanya bertuala.

“Selain pemilik salun, kita turut menahan dua lelaki berusia 44 dan 60 tahun dipercayai penjaga pusat pelacuran terbabit.

“Kita juga merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran termasuk 31 kondom, dua botol gel pelincir, sebotol minyak urut, dua buku nota dan telefon bimbit,” katanya.

Kamaluddin berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");